Balu Guru MITS terima Pencen Penakat

Nurul Izzati bersama replika cek faedah pengurusan jenazah yang diterimanya.
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyerahkan sumbangan serta faedah caruman kepada balu guru Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS)Klang, Muhammad Faisal Yaakub yang meninggal dunia pada 8 Januari lalu.

Pengarah PERKESO Selangor, Mustapa Draman berkata, penyerahan faedah caruman itu melibatkan faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 serta faedah Pencen Penakat yang bakal diterima setiap bulan oleh isteri Muhammad Faisal, Nurul Izzati Nazirmuddin, 32.

Beliau berkata, faedah caruman itu diberikan selepas pihaknya membuat semakan dan mendapati Allahyarham Muhammad Faisal ada membuat caruman dan layak mendapat pencen Penakat secara penuh sehingga 65 peratus.

"Oleh itu, di bawah skim atau faedah ini, Nurul Izzati buat masa ini akan menerima Pencen Penakat sebanyak RM1,540.50.

"Namun selepas dia melahirkan anak pertamanya dijangka pada April ini, kedua-dua mereka akan mendapat faedah Penakat penuh sebanyak RM2,567.50 setiap bulan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan faedah itu yang diadakan bersama Perhimpunan Bulanan Warga Kerja Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Dewan Syarahan&Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis, Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim.

Mustapa berkata, faedah caruman itu juga tidak akan terhenti sekiranya Nurul Izzati berkahwin lain kerana ia adalah skim seumur hidup.

Namun katanya, faedah caruman itu pula hanya layak diberikan kepada anak sehingga mereka mencapai usia 21 tahun.

"Jika anak tersebut melanjutkan pelajaran ke universiti, mereka layak untuk mendapat skim pinjaman pendidikan daripada PERKESO," katanya.

Mustapa (kiri) menyerahkan faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 kepada Nurul Izzati (kanan) sambil diperhatikan oleh Haris (tengah) pada majlis serahan hari ini.
Mustapa (kiri) menyerahkan faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 kepada Nurul Izzati (kanan) sambil diperhatikan oleh Haris (tengah) pada majlis serahan hari ini.

Mustapa berkata, beliau berharap dengan mengambil contoh kes itu, lebih ramai pekerja berkelayakan yang berstatus sementara atau kontrak dapat membuat caruman dengan PERKESO.

"Caruman ini bukan untuk kita, tapi untuk kebaikan pencarum itu sendiri jika ditimpa bencana yang menyebabkan kecederaan atau kematian.

"Sekurang-kurangnya ia dapat membantu pencarum atau keluarga yang ditinggalkan untuk meneruskan hidup, " katanya yang memberitahu seramai 232 kakitangan JAIS yang berstatus sementara dan kontrak sudah membuat caruman dengan PERKESO.

Sementara itu, Nurul Izzati yang juga merupakan kakitangan JAIS memberitahu sangat bersyukur dengan bantuan serta sokongan diterima daripada majikannya serta PERKESO.

Menurutnya, bantuan tersebut sangat membantu dari segi urusan harian serta pada masa depan.

"Dulu berdua dengan arwah suami, semua ditanggung bersama, tapi kini saya seorang dan tak lama lagi akan melahirkan anak kami.

"Syukur bantuan dan rezeki ini ALLAH SWT beri untuk ringankan beban ditanggung," katanya yang mengakui kejadian menimpa sangat membuka mata tentang kepentingan membuat caruman PERKESO.

Nurul Izzatri dan arwah suami sama-sama membuat caruman dan jelas dalam keadaan tidak terduga ini ia benar-benar membantu.

"Saya sarankan semua yang layak untuk membuat caruman kerana ia boleh menjadi sokongan bantuan sara hidup buat kita atau keluarga sekiranya ditimpa musibah, " katanya.

Dalam insiden 8 Januari lalu, Muhammad Faisal dilaporkan rebah depan pintu bilik mesyuarat ketika azan Zohor sedang berkumandang sebelum disahkan meninggal dunia.