X

Kindly register in order to view this article
!

Mangsa kebakaran dibenar bina semula rumah di Kampung Teruntum

Hajiji (tiga dari kiri) melawat lokasi kebakaran yang memusnahkan 35 buah rumah di kawasan Kampung Meruntum, Putatan pada Isnin.
A
A

PUTATAN - Penduduk yang terjejas akibat kebakaran pada Sabtu lalu dibenarkan membina semula rumah mereka yang musnah di tapak kebakaran di Kampung Meruntum.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tanah itu adalah milik kerajaan dan kerajaan membenarkan mereka mendirikan semula rumah di kawasan itu.

"Saya berharap mangsa bersabar, Insya-ALLAH kerajaan akan beri bantuan dan membenarkan mereka mendirikan semula rumah-rumah mereka di kawasan yang terbakar itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di Dewan Sri Serigai pada Isnin.

Hadir sama, ADUN Tanjung Keramat merangkap Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya dan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Arifin Mohd Arif.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, pembinaan rumah itu akan dibuat dengan lebih teratur dan akan dipantau oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan itu.

"Kita akan bincang dengan pegawai daerah untuk memastikan bahawa susunan pembinaan rumah itu dibuat dengan teratur dan baik.

"Ia juga akan dipantau oleh wakil rakyat di kawasan ini, mereka yang menjadi mangsa saja dibenarkan membina rumah di kawasan itu," katanya.

Dalam lawatan itu, setiap ketua isi rumah membabitkan 45 keluarga menerima bantuan wang ihsan daripada kerajaan Sabah yang disampaikan Hajiji.

Keluarga yang terjejas turut menerima bantuan daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah membabitkan bantuan bahan mentah, peralatan dapur, bahan binaan rumah dan bantuan daripada Perbadanan Baitulmal Sabah serta Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Sabtu lalu, sebanyak 35 rumah musnah menyebabkan 45 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang mereka diami musnah dalam kejadian itu.

ARTIKEL BERKAITAN: 15 rumah atas air musnah terbakar


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!