X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih 5,000 pejuang Palestin ‘gugur’ mempertahankan negara

Rakyat Palestin terus berjuang mempertahankan bumi anbiya yang didiami walaupun nyawa mereka terancam.
A
A

[INFOGRAFIK] Semalam, genap hari kelapan rejim Zionis menceroboh dan menyerang bumi Palestin ketika umat Islam di seluruh dunia sedang menyambut kemeriahan Aidilfitri.

Dianggarkan, seramai 192 penduduk di Gaza terbunuh sepanjang serangan yang bermula sejak Isnin lepas itu.

Angka penduduk yang terkorban terus meningkat apabila serangan merebak ke Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sehingga meragut 17 lagi nyawa.

Tindakan biadab rejim zionis di bumi suci Palestin itu bukan sahaja membunuh orang dewasa malah turut mengorbankan nyawa kanak-kanak yang tidak berdosa.

Menurut laporan Al Jazeera, seramai 58 kanak-kanak terkorban di Gaza serta satu di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang turut memusnahkan lebih 500 kediaman dan memaksa kira-kira 17,000 penduduk meninggalkan tempat tinggal masing-masing.

Berdasarkan data Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), seramai 5,736 pejuang Palestin terbunuh manakala 120,978 yang lain cedera akibat serangan rejim zionis sejak 2008 hingga 2021.

Dalam tempoh tersebut, kematian tertinggi dicatatkan berlaku pada 2014 iaitu seramai 2,327 orang antara 8 Julai hingga 26 Ogos 2014.

Angka kematian tersebut dicatatkan ketika Perang Gaza 2014 yang menyaksikan pertempuran sengit antara Hamas dan rejim Zionis.

Peperangan itu menyaksikan sayap kanan Hamas iaitu Briged Al-Qassam melancarkan serangan roket bertubi-tubi ke atas rejim Israel, sekali gus menghambat mereka keluar dari Gaza.

Sementara itu, OCHA merekodkan seramai 17,533 penduduk Palestin cedera dalam perang yang berlanjutan selama tujuh minggu itu.

Namun, jumlahnya masih rendah jika dibandingkan dengan angka kecederaan mereka akibat perbuatan biadab rejim Israel itu pada 2018.

Daripada jumlah kesuluruhan kematian yang dicatatkan, seramai 3,781 atau 65.92 peratus adalah lelaki manakala 565 atau 9.85 peratus adalah wanita.

Sementara kanak-kanak lelaki seramai 1011 orang atau 17.63 peratus, kanak-kanak perempuan seramai 244 orang atau 4.25 peratus dan lain-lain pula seramai 135 orang atau 2.35 peratus.

Kaum lelaki mencatatkan kematian tertinggi sementara lain-lain pula merekodkan kematian terendah akibat serangan rejim Israel ke atas Palestin antara 2008 hingga 2021 itu.

Menurut laporan OCHA, kematian tersebut dikira berdasarkan kepada penjajahan dan serangan secara langsung rejim Israel terhadap Palestin.

Sementara kematian melibatkan perkara-perkara lain seperti konfrontasi langsung, kecuaian menggunakan senjata, bukan letupan senjata dan runtuhan terowong tidak dikira.

Bagaimanapun, kematian penduduk Palestin itu merupakan sesuatu yang bermaruah. Mereka terkorban kerana mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara tercinta daripada dijarah oleh penjajah haram Israel.

Usaha mereka itu bukan lagi baharu sebenarnya. Ia telah bermula sejak 1947 apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencadangkan Pelan Parti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Palestin yang mengesyorkan pembentukan Negara Arab dan Yahudi yang bebas.

Cadangan tersebut diterima oleh Agensi Yahudi untuk Israel tetapi ditolak oleh pemimpin-pemimpin Arab.

Susulan itu, maka tercetuslah Perang Arab-Israel pada 1948 selepas rejim Yahudi itu mengisytiharkan Israel sebagai negara berpandukan cadangan dikemukakan oleh PBB itu.

Atas sikap zalim rejim Israel itu, bumi Palestin yang dulunya dimiliki 100 peratus oleh rakyatnya itu kini hanya tinggal sekitar 15 peratus.

Namun, rakyat Palestin tidak pernah berputus asa. Mereka terus mempertahankan negara tercinta dengan melakukan apa sahaja termasuk mengorbankan nyawa.

Kehilangan tanah Palestin yang direkodkan sejak 1947 angkara perbuatan penerokaan haram rejim Israel.
Kehilangan tanah Palestin yang direkodkan sejak 1947 angkara perbuatan penerokaan haram rejim Israel.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!