Sila tuding jari kepada diri sendiri!

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SETELAH lebih setahun Malaysia memerangi pandemik Covid-19, negeri Kedah kini mencatatkan sebanyak 62 kes kematian akibat penularan virus tersebut.

Mengikut data Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, untuk tahun 2020 hanya 16 kematian dicatatkan.

Ia bermakna dari Januari 2021 sehingga tanggal 17 Mei lalu, Kedah telah pun mencatatkan sejumlah 46 kematian akibat jangkitan Covid-19.

Adakah anda rasa jumlah itu akan terhenti di situ? Ada kemungkinan ‘ya’ dan ada kemungkinan ‘tidak’. Semuanya terletak kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) rakyat Kedah.

Jika sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini pun masih ada yang ‘curi-curi’ beraya konon raya setahun sekali, adakah anda yakin jumlah kematian akan berakhir di sini?

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lima daerah iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 709 kes aktif direkodkan di lima daerah itu.

Pelaksanaan PKP bertujuan menyekat penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain memandangkan kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan awam, makmal dan hospital di Kedah semakin meningkat.

Tetapi sejauh manakah keberkesanannya apabila Polis Kedah saban hari mengeluarkan kompaun kepada rakyat yang ingkar merentas daerah tanpa kebenaran.

Artikel Berkaitan:

Adakah pelanggaran SOP itu dianggap perkara biasa kerana kita sudah terbiasa hidup dengan pandemik tersebut?

Pada minggu lalu, Exco Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman mengeluarkan kenyataan bahawa kapasiti penggunaan katil pesakit Covid-19 di kebanyakan hospital di Kedah berada pada tahap kritikal.

Antara hospital yang berada pada tahap itu ialah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) iaitu penggunaan sebanyak 92 peratus atau 134 daripada keseluruhan 145 katil dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani pula mencatat jumlah penggunaan katil pada tahap 68 peratus ataupun 34 daripada keseluruhan 50 katil yang ada.

Jumlah penggunaan katil itu meningkat dari hari ke hari, dengan jumlah kes makin bertambah mencecah ratusan kes.

Mungkin pada awal gelombang pertama Covid-19 di Kedah dahulu kita boleh menuding jari kepada individu yang menjadi pencetus Kluster Sivagangga kerana melanggar perintah kuarantin selepas pulang dari Sivagangga di Tamil Nadu, India.

Penularan kluster itu menyebabkan sejumlah empat mukim di Kubang Pasu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar sehingga ada tindakan saman ke atas individu terbabit.

Namun kini gelombang ketiga di Kedah sedang berlaku dan makin serius. Kepada siapa kita hendak menuding jari, jika bukan kepada diri kita sendiri.

Penulis yakin, kerajaan sudah sehabis baik mengambil keputusan rasional untuk kebaikan semua.

Pada 16 Mei, kerajaan mengumumkan PKPD di sembilan lokaliti iaitu Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah Jitra, Kedah, selama 14 hari bermula 18 Mei.

Sembilan lokaliti itu membabitkan Taman Mahsuri 2A, Taman Mahsuri 2B, Taman Mahsuri 2C, Pusat Perniagaan Bandar Barat, Kampung Paya Kerchut, Taman Tunku Anum, Kampung Lubuk Kawah, Taman Desa Tanjung, Taman Desa Darul Aman, Mukim Naga.

Pada saat artikel ini ditulis, kerajaan mengeluarkan arahan terbaru dengan mengarahkan pelaksanaan PKPD di 28 Mukim di Kota Setar, mulai 19 Mei sehingga 1 Jun setelah KKM mengenalpasti sebanyak 975 kes aktif Covid-19 di daerah itu.

Enam mukim direkodkan sebagai Zon Merah iaitu Mukim Kota Setar (78 kes), Mukim Mergong (223 kes), Mukim Pengkalan Kundor (143 kes), Mukim Derga (138 kes), Mukim Kangkong (55 kes) dan Mukim Anak Bukit (61 kes).

Penulis berharap pelaksanaan PKPD pada kali ini diambil berat oleh semua rakyat Kedah. Marilah kita putuskan rantaian Covid-19 dan lindungi ahli keluarga yang berisiko.

Buktikan rakyat Kedah mampu patuh SOP!