X

Kindly register in order to view this article
!

Derma kepada rakyat Palestin cecah lebih RM15 juta

Reaksi gembira kanak-kanak Palestin yang menerima bantuan dan sumbangan daripada rakyat Malaysia.
A
A

SHAH ALAM - Penderitaan yang sedang dilalui oleh rakyat Palestin mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia yang kini telah memberikan sumbangan berjumlah lebih RM15 juta sejak beberapa hari lalu.

Sumbangan itu disalurkan kepada lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Aman Palestin, Aid4Palestin, Humanitarian Care Malaysia, MyCare, Viva Palestina Malaysia dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia.

Difahamkan pihak Aman Palestin berjaya mengumpul dana sebanyak RM10 juta, selain Humanitarian Care Malaysia (Mycare) sebanyak RM1.6 juta, Viva Palestina Malaysia (RM1.5 juta), GPM Malaysia (RM1.2 juta) dan Aid4Palestin (RM1.13 juta).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyCare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar, sumbangan tersebut menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sangat prihatin dan pemurah.

“Sejak bumi Palestin kembali bergolak, pihak kami telah memberikan bantuan awal sebanyak AS$100,000 (RM413,079) untuk membantu dari sudut keperluan perubatan dan barangan keperluan.

“Untuk fasa pertama ini, kita membeli makanan, selimut, bantal dan tilam. Kita ada sikit (baki) duit dalam akaun di Palestin dan kredit dengan orang di sana, Insya-ALLAH kita akan dapat bantu mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pada 7 Mei, rejim Zionis Israel telah melakukan serangan terhadap rakyat Palestin yang sedang menunaikan solat tarawih di Masjid al-Aqsa.

Ketegangan memuncak apabila rejim itu turut melakukan serangan demi serangan di Semenanjung Gaza sehingga menyebabkan hampir 200 rakyat Palestin mati dan menyebabkan kemusnahan harta benda.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kebimbangan rakyat Malaysia mengenai sumbangan yang diberikan itu tidak sampai kepada rakyat Palestin, Kamarul Zaman menjelaskan, setiap NGO perlu membuktikan dengan telus setiap sumbangan yang diberikan.

“Mana-mana NGO yang menganjurkan kutipan tabung untuk membantu Palestin, perlu membuktikan bantuan tersebut sampai ke sana dan membuktikan berapa banyak sumbangan yang telah diberikan.

Sebahagian NGO yang membawa bantuan kemanusiaan untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.
Sebahagian NGO yang membawa bantuan kemanusiaan untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.

“Bagaimanapun, alhamdulillah, kebanyakan NGO ini mencipta peluang untuk orang ramai berinfak. Ada yang betul-betul memberi sumbangan ke sana, dan mungkin ada yang mengambil kesempatan,” katanya.

Beliau berkata, MyCare mula beroperasi secara sah di Gaza sejak hujung tahun 2013 untuk memastikan pengurusan di wilayah itu lebih teratur.“Sepanjang pengurusan MyCare di Gaza, sumbangan dan dana yang diterima daripada orang ramai akan diaudit setiap tahun,” ujarnya.

Kamarul Zaman berkata, dana yang diperoleh itu akan disalurkan dengan pelbagai cara kepada rakyat Palestin sama ada melalui pemindahan dana terus ke akaun NGO di Gaza ataupun membeli barangan keperluan.

Bagaimanapun, katanya, pemindahan dana sukar dilakukan ketika ini berikutan institusi kewangan di Palestin musnah dibom oleh Zionis Israel.

“MyCare mempunyai rakan utama yang berada di Gaza yang membolehkan pemindahan wang secara terus ke akaun mereka.

“Jika pemindahan secara terus tidak boleh, MyCare akan memindahkan dana ke akaun NGO yang berada di luar negara sebagai contoh di Turki.

“Contohnya kita bekerjasama dengan Pusat Tahfiz Darul Quran Wassunah di Gaza yang ada cawangan di Turki dan kita salurkan ke sana,” ujarnya.

Jelasnya, MyCare juga telah menjalinkan hubungan dengan pembekal perubatan dan barang keperluan secara kredit.

“Apabila kita dekati mereka, mereka yakin dengan transaksi kewangan kita. Jadi, pihak sana boleh memberikan kredit barang kepada kita dan kita boleh ambil barang dahulu dan bayar kemudian dalam tempoh sebulan atau dua bulan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!