Mudarat racun perosak berlebihan

Gambar hiasa.- Foto 123RF
Gambar hiasa.- Foto 123RF
A
A
A

SEKTOR pertanian memainkan peranan penting terhadap ekonomi Malaysia melalui sumbangannya kepada pendapatan negara, perolehan eksport, peluang pekerjaan serta mewujudkan keberdikarian bekalan makanan negara.

Namun, antara isu yang menjadi perhatian dalam sektor ini ialah penggunaan berlebihan dan tanpa kawalan racun makhluk perosak (RMP).

RMP adalah bahan yang digunakan untuk mengawal, mencegah dan memusnahkan makhluk perosak yang menjejaskan pendapatan petani.

Racun perosak terdiri daripada racun rumpai, racun kulat, racun serangga dan racun bakteria.

Mengikut Konvensyen Stockholm Mengenai Pencemar Organik Berterusan, sembilan daripada 12 bahan kimia organik yang berbahaya dan bersifat kekal ialah racun perosak Paraquat dan Malathion.

Dua jenis racun tersebut adalah antara RMP yang menjadi pilihan petani kerana memberi kesan yang cepat berbanding penggunaan racun organik.

Namun ia membawa pelbagai kesan negatif seperti kesan keracunan makanan kepada manusia, komplikasi kepada kulit, saraf dan sistem badan manusia, selain memudaratkan alam sekitar dengan mencemari sumber air bersih dan udara. Muntah, perut memulas dan cirit birit adalah simptom yang biasa bagi keracunan RMP.

Penggunaan RMP yang tidak selamat dari segi kaedah dan pengendalian, kepekatan dos, kekerapan dan masa semburan akan meninggalkan residu racun perosak kepada hasil tanaman dan persekitaran, selain mengancam kesihatan petani dan pengguna.

Artikel Berkaitan:

Setiap tahun di seluruh dunia, dianggarkan seramai 25 juta orang mengalami keracunan racun perosak.

Ancaman residu RMP bukan sahaja bergantung pada kualiti dan spesifikasi racun perosak tetapi juga pengetahuan petani mengenai sisa-sisa RMP dan sikap pengguna.

RMP menjejaskan kesihatan manusia melalui kesan akut, kronik atau kedua-duanya sekali bergantung kepada jenis racun yang digunakan.

Sesetengah RMP mungkin berkarsinogen, boleh menjejaskan sistem endokrin atau hormon dalam tubuh, manakala yang lain mungkin menyebabkan kerengsaan kulit dan mata.

Laluan paling biasa untuk keracunan RMP ialah penyerapan melalui kulit. Penyerapan ke dalam kulit boleh berlaku akibat daripada percikan atau tumpahan ketika petani mengendalikan racun.

Kawalan biologi

Kajian penggunaan racun perosak berklorin dalam kalangan petani yang berusia lebih daripada 50 tahun dan penggunaan racun perosak yang mengandungi metil bromida dikaitkan dengan risiko kanser prostat.

Sesetengah RMP menyebabkan masalah kesuburan iaitu hormon pembiakan mengeluarkan sperma pada jumlah yang kurang atau menyebabkan kemandulan kaum lelaki atau wanita.

Kesan paling membimbangkan ialah ia boleh meresap ke dalam janin dan kanak-kanak menyebabkan keracunan RMP. Kajian juga menunjukkan perkaitan antara pendedahan racun perosak terhadap golongan ibu dan kecacatan pada bayi, khususnya jika pendedahan terjadi dalam tempoh tiga bulan pertama kandungan.

Tahap penggunaan RMP dalam kalangan petani di Malaysia masih tinggi. Malah, beberapa RMP yang tidak dibenarkan penggunaannya boleh didapati secara komersial terutama yang dibawa masuk dari negara jiran.

Petani turut disaran melaksanakan Amalan Pertanian Baik (GAP) seperti menggunakan kaedah kawalan biologi bagi menggantikan penggunaan RMP secara berlebihan.

Agen Kawalan Biologi (AKB) adalah satu kaedah lestari bagi pengawalan serangga perosak untuk tanaman sayur-sayuran. Ia terbukti berkesan mengawal serangan serangga perosak.

AKB yang dibiakkan di makmal seperti ‘tiger fly’ berkesan mengawal ulat pelombong daun (leafminer) yang menyerang sayuran berdaun.

AKB juga berupaya menjamin kualiti serta keselamatan makanan selain mengurangkan kos pengeluaran dan pencemaran alam sekitar. Kaedah itu mampu menjimatkan kos sebanyak RM2,000 semusim.

*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan Belia dan Komuniti Institut Pengajian Sains Sosial (IPSA) Universiti Putra Malaysia