Rasuah menular ke pedalaman

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Jenayah rasuah di negara kita sudah menjadi akar umbi dalam kalangan rakyat dengan melibatkan individu yang tinggal di bandar hingga ke kawasan pedalaman.

Pegawai Penyelaras kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Mohammad Mirzan Abdul Majid berkata, ketika ini jenayah rasuah dalam negara bukan sahaja melibatkan golongan atasan tetapi pertengahan serta bawahan.

“Rasuah sudah berakar bukan setakat dalam kalangan menteri, Exco dan penjawat awam. Individu yang duduk kampung dan pedalaman pun ada yang ambil rasuah. Walaupun RM5, ia tetap rasuah. Benda (rasuah) ini dah jadi normal sehingga menjadi akar dalam rakyat di negara ini.

“Lebih parah apabila orang kita seperti sudah tiada rasa bersalah terhadap jenayah rasuah. Kalau nak lepas sekatan jalan raya, bagi kepada polis. Kalau mahu tanah untuk buat ternakan lembu pun bagi rasuah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohammad Mirzan menegaskan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh mengamalkan ‘dua darjat’ antara pelaku terdiri daripada golongan atasan dan bawahan bagi memastikan jenayah rasuah tidak berleluasa.

“SPRM harus adil dan tidak boleh bertindak seperti ada dua darjat sebaliknya menjadi satu badan yang kuat melangkaui Perdana Menteri. Ketua Pengarah SPRM pula harus mempunyai autonomi lebih besar,” kata beliau.

Sementara itu, Mohammad Mirzan berkata, rasuah dalam negara sudah mencapai kemuncak kerana jenayah tersebut dipercayai sudah wujud sejak zaman penjajahan British dan Jepun.

“Sesetengah masyarakat perlu memberi rasuah untuk menyelamatkan periuk nasi mereka dan menimbulkan keterpaksaan dalam melaksanakan perniagaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, ketiadaan negara Islam dalam senarai negara terbaik dunia berpunca daripada amalan rasuah dalam negara.

Katanya, rasuah boleh menghancurkan ekonomi negara kerana kepercayaan pelabur kepada negara semakin pudar.

“Apabila masyarakat sudah terlibat dalam merosakkan sebuah sistem ekonomi negara, maka rakyat perlu disuluhkan akal mereka bahawa rasuah merupakan dosa besar agar mencapai negara yang madani dan sejahtera,” kata beliau lagi.