Harap FIFA tak laksana pemotongan mata

WAN JAMAK
WAN JAMAK
A
A
A

PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) diharap tidak membuat keputusan memotong mata bagi keputusan aksi menentang pasukan tercorot dalam semua kumpulan berikutan tindakan Korea Utara menarik diri daripada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, penolakan mata itu akan memberikan implikasi besar kepada mana-mana pasukan termasuk skuad Harimau Malaya yang telah memenangi dua aksi menentang Indonesia dalam saingan Kumpulan G sebelum ini.

“Setakat ini, pasukan kebangsaan dah menang dengan Indonesia dua kali iaitu di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta dan juga di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang memberikan kita enam mata maksimum.

“Tetapi bagaimana jumlah mata itu tidak dikira selepas Korea Utara menarik diri? Ini yang membimbangkan kita dan sudah pasti ia memberi satu tamparan hebat kepada pasukan kebangsaan yang sudah bekerja keras memburu kemenangan ke atas Indonesia.

“Cuma kita boleh berharap FIFA meneliti perkara ini dengan sebaik mungkin sebelum membuat keputusan. Apa sekalipun, pasukan kebangsaan harus berjuang habis-habisan dalam baki tiga perlawanan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) nanti,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan Korea Utara yang bersaing dalam Kumpulan H menarik diri daripada baki kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

Situasi berkenaan secara tidak langsung dilihat bakal memberikan kesan negatif kepada Harimau Malaya kerana keputusan perlawanan menentang pasukan tercorot dalam semua kumpulan berkemungkinan besar tidak akan dikira.

Namun, skuad kebangsaan masih berpeluang meraih slot automatik ke Piala Asia 2023 dan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 menerusi kedudukan tempat kedua terbaik kumpulan jika mencatatkan keputusan positif dalam baki tiga perlawanan berdepan UAE, Vietnam dan Thailand.

Artikel Berkaitan:

Wan Jamak berkata, sekiranya FIFA membuat keputusan untuk mengenakan pemotongan mata susulan tindakan Korea Utara itu, skuad Harimau Malaya tidak mempunyai pilihan lain kecuali meraih seberapa banyak mata dalam baki tiga aksi kelayakan berkenaan.

“Jika itu berlaku, diharapkan pemain-pemain dapat memberikan aksi yang betul-betul terbaik bagi membolehkan pasukan kebangsaan meraih mata maksimum untuk layak ke peringkat seterusnya,” ujarnya.