X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 23 Januari 2022

Janji Harimau Malaya

Zaquan Adha menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukannya di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Isnin. - Foto FAM
A
A

SKUAD Harimau Malaya tetap fokus bagi menghadapi saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bulan depan sekalipun berdepan kemungkinan kehilangan mata selepas Korea Utara membuat keputusan menarik diri.

Kapten Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak berkata, keadaan itu tidak merencatkan semangat barisan pemain negara memandangkan mereka bertekad berjuang sedaya upaya meraih kemenangan dalam tiga baki perlawanan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) nanti.

"Kita belum tahu lagi situasi apa yang akan berlaku sama ada kami ditolak mata atau tidak selepas Korea Utara menarik diri daripada pusingan kelayakan ini. Apa yang kami fikirkan adalah kemenangan dalam tiga baki perlawanan yang bakal diharungi.

"Kami berjanji akan bermain bermati-matian walaupun apa pun terjadi. Lagipun, jika kami mampu menang semua perlawanan tersebut, peluang cerah untuk kami melangkah ke peringkat seterusnya tak kiralah sama ada Korea Utara tarik diri atau tidak.

"Kalau ikutkan kedudukan sekarang kita sembilan mata dan berada di kedudukan kedua. Satu peluang cerah untuk kita dan paling hampir untuk kita ke peringkat seterusnya dan tidak boleh dipersia-siakan.

"Saya selalu ingatkan rakan-rakan sepasukan untuk mendapat peluang sebegini pada masa akan datang... mungkin susah. Yang terdekat dah ada depan mata, jadi jangan lepaskan," katanya dalam sidang media secara maya pada Isnin.

Tindakan Korea Utara yang menarik diri daripada saingan kelayakan itu memberi kemungkinan keputusan aksi menentang pasukan tercorot dalam semua kumpulan tidak dikira, sekali gus menjejaskan Harimau Malaya yang meraih dua kemenangan ke atas Indonesia dalam Kumpulan G.

Namun, belum ada kata putus mengenai perkara itu selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menyerahkan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk membuat keputusan.

Dalam pada itu, Aidil Zafuan turut menyifatkan ketiadaan Shahrul Saad di posisi pertahanan tengah sebagai satu berita kurang gembira buat skuad Harimau Malaya.

"Sudah semestinya kita berasa sedih dengan ketiadaan Shahrul. Semua orang tahu Shahrul seorang pemain yang komited dan sentiasa memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan.

"Namun, ada beberapa pemain lain yang boleh memikul tanggungjwab dan saya rasa saya tidak ada masalah bermain dengan sesiapa sahaja di posisi tersebut. Saya pernah bermain dengan sesiapa pun yang ada sekarang, contohnya Adam Nor Azlin, Dominic Tan dan Junior Eldstal.

"Sepatutnya tiada masalah untuk saya bermain dengan mereka semua kerana sudah ada daripada segi persefahaman. Namun, secara taktikal setiap pemain kena faham taktikal yang coach Tan akan terapkan," ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!