UAE, Bahrain, Maghribi, Sudan akhirnya laung bantahan

Tentera Udara Israel melakukan satu siri serang di lokasi-lokasi sasarannya di Gaza sejak minggu lalu. - Foto AFP
Tentera Udara Israel melakukan satu siri serang di lokasi-lokasi sasarannya di Gaza sejak minggu lalu. - Foto AFP
A
A
A

SERANGAN udara tentera Israel ke atas para pejuang Palestin di Gaza turut mendapat kutukan daripada negara-negara yang baharu menjalinkan hubungan dengannya dan menandatangani perjanjian Abraham pada tahun lalu.

Sebelum ini, negara-negara Liga Arab iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Maghribi dan Sudan bersetuju menjalinkan hubungan diplomatik dengan rejim Zionis itu pada tahun lalu.

Namun, kurang setahun selepas persetujuan untuk menjalin hubungan dengan negara haram itu dibuat, keempat-empat anggota Liga Arab itu menukar nada dengan mengkritik keras kekejaman rejim tersebut.

Strategi Israel supaya isu Palestin tidak lagi menjadi tumpuan apabila ia menjalinkan hubungan diplomatik dengan empat anggota Liga Arab akhirnya tersilap apabila serangan udara rejim Zionis ke atas Gaza turut mendapat tumpuan dunia. - Foto AFP
Strategi Israel supaya isu Palestin tidak lagi menjadi tumpuan apabila ia menjalinkan hubungan diplomatik dengan empat anggota Liga Arab akhirnya tersilap apabila serangan udara rejim Zionis ke atas Gaza turut mendapat tumpuan dunia. - Foto AFP

Ketika perjanjian Abraham ditandatangani, para pemimpin Palestin berasa bimbang ia akan mengetepikan tuntutan mereka dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Para pemimpin Palestin pernah menganggap tindakan negara-negara tersebut sebagai satu pengkhianatan terhadap penduduk Palestin dan menyifatkannya sebagai satu tikaman dari belakang oleh pihak Israel.

Perjanjian itu juga menyebabkan sebanyak 16 daripada 22 buah anggota Liga Arab tidak mengiktiraf kewujudan Israel selagi ia menjajah Palestin dan sebuah negara Palestin yang merdeka tidak diwujudkan.

Sebelum ini, Mesir dan Jordan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel masing-masing pada tahun 1979 dan 1994.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, UAE, Bahrain, Maghribi dan Sudan akhirnya bersetuju untuk menjalin hubungan diplomatik dengan rejim Zionis semasa Amerika Syarikat (AS) ditadbir oleh Presiden AS yang ke-45, Donald Trump yang telah menjadi orang tengah dalam merealisasikan hubungan itu.

Seorang penganalisis sebuah badan pemikir iaitu Kumpulan Krisis, Elham Fakhro berkata kepada AFP bahawa perjanjian Abraham itu tidak pernah menyatakan tentang keadaan penjajahan Israel dan rampasan tanah yang kini dihadapi oleh penduduk Palestin.

Di Bahrain, tunjuk-tunjuk perasaan dilakukan sebagai tanda memberi sokongan kepada penduduk Palestin dengan Menteri Luarnya, Abdullatif al-Zayani menyuarakan kutukan keras terhadap serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Israel di Genting Gaza.

Para pengguna internet pula telah berkongsi gambar-gambar para penunjuk perasaan memakai pakaian tradisi penutup kepala Palestin manakala kumpulan-kumpulan masyarakat awam mendesak supaya hubungan Bahrain dengan Israel diputuskan.

Menteri Luar UAE, Abdullah bin Zayed pula dilaporkan berkata, bahawa negaranya meminta pihak-pihak yang terlibat dalam pertempuran di Palestin supaya mengadakan satu gencatan senjata dan memulakan satu dialog.

Para pengguna media sosial di negara itu turut berkongsi video dan gambar-gambar yang mengutuk keganasan dan penjajahan rejim Zionis ke atas penduduk Palestin.

UAE juga mengamalkan polisi dengan melakukan sekatan ketat terhadap media sosial di negara tersebut.

Dalam pada itu, Maghribi yang turut menjalin hubungan dengan Israel selepas UAE dan Bahrain pada tahun lalu turut mengutuk tindakan tentera Israel di Baitulmaqdis Timur yang menempatkan Masjid al-Aqsa.

"Maghribi sepatutnya memainkan peranan sebagai perantara. Jika ia gagal melakukannya, ia sepatutnya menjarakkan diri dari proses normalisasi (dengan Israel)," kata Profesor Tajeddine Houssaini iaitu seorang pakar hubungan antarabangsa di Universiti Rabat, Maghribi kepada AFP.

Negara itu sebelum ini memutuskan untuk menjalin hubungan dengan Israel bagi mendapatkan pengiktirafan AS terhadap kedaulatan Maghribi terhadap wilayah Sahara Barat.

Sudan pula yang menjalin hubungan dengan Israel sebagai pertukaran untuk tidak lagi disenaraikan AS sebagai negara penaja keganasan, tidak ketinggalan mengutuk tindakan Israel dan memberi amaran bahawa serangan udara rejim Zionis itu akan mewujudkan satu kitaran keganasan.

Pakar Asia Barat dan hubungan antarabangsa di Universiti Johns Hopkins, Washington, Vali pula Nasr berkata, strategi Israel ialah berdasarkan pandangan bahawa isu Palestin tidak akan lagi menjadi relevan jika ia menjalinkan hubungan dengan negara-negara Liga Arab itu.

Strategi itu nampaknya tidak berkesan.

Sebaliknya, isu Palestin itu kembali menjadi tumpuan selepas Israel telah melakukan kesilapan.

Pertempuran di Gaza yang bermula pada minggu lalu itu telah menyebabkan lebih 200 penduduk Palestin terkorban manakala lebih 1,000 orang lagi cedera akibat serangan udara tentera Israel. - Agensi