Bangunkan teknologi roket negara

No Image Caption
A
A
A

DI SEBALIK meratapi kesedihan dan rasa marah di atas serangan Israel terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza, sebenarnya banyak perkara yang patut kita pelajari khususnya berkaitan pembangunan industri pertahanan negara iaitu sistem persenjataan roket.

Pejuang Hamas melancarkan roket ke Tel Aviv bermula Selasa lepas sebagai tindak balas terhadap Israel yang memusnahkan blok bangunan di Gaza.

Roket Qassam mula digunakan oleh pejuang Hamas untuk membedil kedudukan Israel dilihat mempunyai prestasi yang semakin baik tahun demi tahun sejak tahun 2001 semasa Intifada Palestin yang kedua.

Versi roket Qassa-4 dengan peledak seberat 14 kilogram (kg) mampu meluncur ke sasaran sejauh 17 kilometer (km) yang dikira sudah memadai untuk menimbulkan rasa gerun penduduk awam Israel apabila siren udara dibunyikan sebaik ia dikesan oleh sistem pertahanan udara negara itu.

Manakala roket Grad bersama peledak seberat 18kg pula, boleh mengenai sasaran sejauh 25km iaitu menghampiri bandar berdekatan Tel Aviv.

Sehingga kini, Hamas serta beberapa kumpulan pejuang proksi dikatakan telah melancarkan kira-kira 2,900 roket ke arah Israel. Daripada jumlah itu, sebanyak 450 roket mendarat di sasaran, manakala selebihnya dipintas oleh sistem pertahanan udara Israel.

Sebenarnya, angka-angka itu subjektif kerana baik di pihak pejuang dan Israel memberi gambaran berbeza.

Bagi pihak Hamas, angka serangan mempamerkan kekuatan militer mereka, manakala pada Israel lebih banyak serangan roket yang dilancarkan lawan pula menunjukkan kebolehan pihaknya untuk menangkis tembakan.

Artikel Berkaitan:

Biarpun banyak pihak mempertikai keberkesanan sistem pertahanan Iron Dome atau kubah besi Israel, hakikatnya ia adalah sistem pertahanan ruang udara antara terbaik dunia ketika ini.

Menurut sumber pertahanan Israel, sebanyak 470 roket dilancarkan pejuang Hamas dari Gaza sepanjang 24 jam pertama konflik tercetus berbanding 192 roket semasa konflik pada tahun 2014 dan 312 (2012).

Pada konflik kali ini, pejuang Hamas melancarkan roket jarak jauh sehingga pada jarak 130km dengan kira-kira 17 peratus roket mengenai sasaran. Angka itu dikatakan lebih baik berbanding serangan tujuh tahun lalu iaitu hanya lapan peratus.

Bagaimanapun, jumlah sebenar roket jarak jauh dimiliki Hamas serta kemampuan sebenarnya tidak diketahui termasuk adakah ia dibina oleh pejuang atau dibawa masuk dari luar?

Kecuali roket Qassam, kebolehan pejuang Hamas membangunkan persenjataan konvensional itu dengan kemudahan terhad sepatutnya diberi perhatian oleh pihak penyelidik industri pertahanan negara serta pemikir Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Roket Qassam ialah sistem persenjataan ringkas yang dibina di bengkel-bengkel kecil pejuang secara tersembunyi. Walaupun mulanya dibina dengan bantuan negara proksi, namun tahun demi tahun kemampuan roket itu dipertingkat upayanya.

Negara misalnya mengoperasikan briged artileri roket sejak tahun 2002 menerusi pembelian sistem pelancar roket berganda Astross buatan Brazil.

Sistem artileri itu memberikan ATM keupayaan serangan strategik yang mampu menjangkau jarak dari 9km sehingga 90km.

Ia juga sesuai pada jarak serangan yang dikehendaki, selain lancaran berganda itu mampu menyebabkan kemusnahan skala besar pada kawasan sasaran.

Astross ialah roket berteknologi tinggi, jadi ada perlunya Malaysia membangunkan sistem roket asas untuk pertahanan sendiri dan biarlah rekaannya nampak primitif asalkan berkesan, manakala kosnya memadai.

Kita juga tidak ketandusan pakar kerana institusi pengajian tinggi tempatan memiliki saintis yang menguasai teknologi penghasilan bahan bakar dan motor roket iaitu komponen utama pembinaan persenjataan tersebut.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 23 tahun lalu.