X

Kindly register in order to view this article
!

FAM mohon FIFA buat ketetapan adil

Stuart Ramalingam
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin menghantar surat rayuan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) meminta penyelesaian yang adil, susulan tindakan Korea Utara menarik diri daripada saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan berkata, FAM meminta FIFA membuat ketetapan yang saksama kepada semua pasukan bertanding dalam saingan pusingan kedua kempen kelayakan itu, yang bermula bulan depan.

Katanya, penarikan diri Korea Utara telah membawa pelbagai kemungkinan termasuk pungutan mata hasil keputusan aksi menentang pasukan tempat terakhir setiap kumpulan tidak akan dikira.

“Ia menyukarkan perancangan serta peluang kebanyakan pasukan memandangkan pusingan kedua itu sudah memasuki penghujung saingan dengan berbaki tiga atau empat perlawanan,” katanya dalam kenyataan itu.

Stuart berkata, dalam surat rayuan itu, FAM turut menegaskan FIFA perlu tampil dengan satu penyelesaian atau ketetapan dengan menitikberatkan semangat keadilan dan mengambil kira faktor integriti dalam sukan.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) semalam mengesahkan Persatuan Bola Sepak Korea Utara menarik diri daripada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 dan akan merujuk perkara itu ke FIFA.

Korea Utara yang berada dalam Kumpulan H bersama pendahulu Turkmenistan, Korea Selatan, Lubnan dan Sri Lanka dijadualkan menamatkan baki perlawanan kumpulan di Korea Selatan.

Sementara itu, dalam kenyataan lain, barisan pemain skuad kebangsaan hari ini menerima jam tangan edisi terhad Casio G-Shock Harimau Malaya sempena menghadapi baki aksi Kumpulan G pusingan kedua kempen kelayakan itu di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Jam tangan berkenaan disampaikan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin pada hari kedua kem latihan pusat skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Malaysia yang berada di kedudukan kedua Kumpulan G, akan bertemu UAE, Vietnam dan Thailand dalam misi memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dan pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!