Pusat OKU tidak berdaftar diminta daftar individu jagaan mereka

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat jagaan Orang Kurang Upaya (OKU) yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diminta mendaftarkan individu di bawah jagaan mereka dalam Fasa Dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula 19 April lepas.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, hal itu penting supaya komuniti OKU yang dikategorikan sebagai golongan rentan tidak ketinggalan dalam proses vaksinasi selain dapat mengurangkan risiko menghidapi komplikasi penyakit berjangkit.

Ras Adiba Radzi
Ras Adiba Radzi

“Saya ingin memohon jasa baik Khairy Jamaluddin Abu Bakar selaku Menteri Penyelaras (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) untuk turut melibatkan pusat-pusat jagaan OKU yang tidak berdaftar dengan JKM ini sama seperti pusat jagaan warga emas dalam program vaksinasi AstraZeneca fasa seterusnya yang bakal bermula pada 23 Mei ini,” menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, sehingga Disember 2020, terdapat hampir 52 pusat jagaan OKU di seluruh negara yang tidak berdaftar dengan JKM.

Ras Adiba juga berharap, kerajaan dapat menyegerakan pemberian vaksin kepada golongan OKU terutama yang menetap di luar bandar atau pedalaman.

Katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat baru-baru ini menyerahkan senarai nama 19,439 OKU pelatih Program Pemulihan Dalam Komuniti kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk dipertimbang bagi fasa dua program itu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang telah menyediakan laluan khas serta kebolehcapaian yang cukup baik bagi OKU di kebanyakan pusat vaksinasi di seluruh negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: