X

Kindly register in order to view this article
!

Latihan di Stadium Nasional bakar semangat Harimau Malaya

Cheng Hoe memantau sesi latihan skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Isnin. FOTO: FAM
A
A

KEM latihan pusat di Stadium Nasional, Bukit Jalil bermula Ahad membakar semangat skuad Harimau Malaya menjelang misi getir pada Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan depan.

Skuad Harimau Malaya kembali menjalani latihan di gelanggang rasminya itu buat kali pertama sejak melakar dua kemenangan berturut-turut ke atas Thailand dan Indonesia dalam aksi Kumpulan G kempen kelayakan pada November 2019.

Ketua pasukan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya berasa bertuah dapat dikumpulkan di Stadium Nasional sebelum berlepas ke UAE bagi menyambung baki saingan kumpulan menentang skuad tuan rumah, Vietnam dan Thailand.

"Bagi saya impian semua pemain dalam negara mahu berlatih dan bermain di Stadium Nasional, saya harap dengan aura Stadium Nasional boleh bantu kami berjuang di UAE," katanya pada sidang media secara maya pada Isnin.

Malaysia mengatasi Thailand 2-1 dan menundukkan Indonesia 2-0 di Stadium Nasional pada aksi terakhir Kumpulan G yang juga menjadi perlawanan antarabangsa terakhir skuad kebangsaan sebelum kempen kelayakan terpaksa ditangguhkan susulan penularan pandemik Covid-19.

Dua kemenangan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu membolehkan Malaysia melonjak ke kedudukan kedua Kumpulan G dan berada di posisi terbaik untuk mengesahkan slot secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022.

Sementara itu, Cheng Hoe yang turut teruja kembali mengendalikan sesi latihan di Stadium Nasional, mengakui kem latihan di situ dapat mengembalikan memori kejayaan kepada barisan anak buahnya sekali gus dapat mempengaruhi semangat mereka dalam menghadapi cabaran di UAE.

"Saya rasa itu cukup memberi kita motivasi tinggi, para pemain dapat imbas kembali suasana stadium ketika meraih kemenangan lawan Thailand dan Indonesia. Ini memberi kita motivasi cukup baik untuk mengharungi kempen kelayakan nanti," kata pengendali berusia 52 tahun itu.

Skuad Harimau Malaya menggunakan beberapa venue milik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Johor Bahru pada kem latihan pusat Mac lepas.

Malaysia yang dijangka berlepas ke UAE pada Khamis ini bagi meneruskan sesi latihan intensif di sana sebelum bertemu UAE pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan menutup saingan kumpulan pusingan kedua kelayakan menentang Thailand pada 15 Jun.

Sebelum memulakan kempen Kumpulan G kelayakan itu, skuad kebangsaan akan menempuh dua aksi pemanas badan masing-masing berdepan Kuwait di UAE, Ahad ini, sebelum bertemu Bahrain dalam perlawanan persahabatan Tier 1 di Manama pada 28 Mei ini. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!