X

Kindly register in order to view this article
!

Arab Saudi longgarkan kuarantin wajib

Kenderaan sesak di pusat pemeriksaan sempadan Raja Fahad untuk memasuki Bahrain pada Isnin selepas sekatan perjalanan ditarik balik terhadap individu yang telah divaksin. - Foto: AFP
A
A

RIYADH - Arab Saudi mengumumkan warga asing yang tiba di negara itu tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib selama tujuh hari bermula Isnin jika mereka sudah menerima vaksin Covid-19 sebagai usaha untuk mengembalikan semula operasi penerbangan antarabangsa pada kapasiti penuh.

Pihak berkuasa penerbangan awam dalam satu kenyataan mengesahkan golongan yang diberi kelonggaran itu termasuk mereka yang telah sembuh jangkitan wabak itu.

“Mereka hanya perlu mengemukakan sijil vaksinasi sejurus mendarat di Saudi,” ujarnya.

Sebelum ini, Riyadh mewajibkan kesemua warga asing menjalani kuarantin wajib selama tujuh hingga 14 hari bergantung kepada negara pelepasan mereka selain menunjukkan keputusan negatif ujian polymerase chain reaction (PCR).

Di bawah peraturan baharu bermula Khamis ini, individu berusia lapan tahun dan ke atas yang belum mendapatkan imunisasi perlu dikuarantin selama tujuh hari dan kos sepanjang tempoh itu perlu ditanggung sendiri oleh mereka serta mengemukakan keputusan negatif ujian PCR pada hari keenam selepas ketibaan.

Selain itu, golongan itu juga perlu menyediakan polisi insurans yang sah untuk melindungi potensi risiko daripada Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan rakyat negara itu masih dilarang melakukan penerbangan secara terus ke 13 negara tanpa mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa.

Kementerian itu turut mengumumkan pembukaan semula kesemua sempadan udara, darat dan laut negara itu.

Pada Februari lalu, Riyadh menggantung kemasukan individu daripada 20 negara namun pengecualian diberikan kepada diplomat, warga tempatan, pengamal perubatan dan keluarga mereka bagi membendung penularan wabak tersebut. - Agensi

Info:

>Pelancong dari 20 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), India, United Kingdom (UK), Jerman, Perancis dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) masih dilarang memasuki negara itu.

>Warga tempatan dilarang melakukan perjalanan ke Libya, Syria, Lubnan, Yemen, Iran, Turki, Armenia, Somalia, Republik Democratik Congo, Afghanistan, Belarus dan India.

>Bermula Isnin, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam dijangka mengendalikan kira-kira 386 penerbangan di seluruh negara.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!