Punca Bill Gates tinggalkan Microsoft didedah

Bill Gates
Bill Gates
A
A
A

WASHINGTON - Bill Gates meninggalkan lembaga Microsoft ketika siasatan secara menyeluruh dilancarkan ke atas hubungan sulit bilionair terbabit bersama seorang kakitangan firma gergasi teknologi di Amerika Syarikat (AS) itu.

Perkara itu didedahkan menerusi laporan Wall Street Journal (WSJ) pada Ahad sekali gus menjawab persoalan punca sebenar Gates melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi pada Mac 2020.

“Ahli lembaga Microsoft memutuskan beliau perlu berundur kerana berpendapat ia membabitkan tingkah laku yang tidak sesuai,” lapor WSJ.

Jurucakap firma terkemuka itu memaklumkan mereka mengetahui hubungan sulit itu pada separuh kedua 2019 selepas Gates didakwa menjalinkan hubungan intim dengan seorang kakitangan pada tahun 2000.

Kakitangan tersebut yang merupakan seorang jurutera turut membongkar dia telah menjalinkan hubungan seksual dengan Gates dan berlarutan selama beberapa tahun.

Ketika membuat keputusan meninggalkan Microsoft, Gates dikatakan lebih mahu memberi tumpuan kepada pertubuhan amal terbesar di dunia, Yayasan Bill dan Melinda Gates.

Pendedahan ‘hubungan sulit’ Gates turut menjawab tanda tanya banyak pihak berkaitan punca perceraian beliau yang meruntuhkan mahligai cinta yang dibina selama 27 tahun bersama Melinda. - AFP

Artikel Berkaitan: