ASTAF tolak permohonan PSM

Abdul Halem Kadir
Abdul Halem Kadir
A
A
A

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Asia (ASTAF) menolak permohonan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk menangguhkan pendengaran Jawatankuasa Tatatertib ASTAF secara maya yang melibatkan persatuan itu.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halem Kader dalam sepucuk surat yang dihantar ASTAF kepada Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh pada Isnin berkata, permohonan untuk menangguhkannya yang dinyatakan dalam sepucuk surat kepada ASTAF pada 12 Mei telah difikirkan semasak-masaknya oleh Jawatankuasa Eksekutif ASTAF.

Bagaimanapun, beliau tidak nampak keperluan untuk penangguhan dan mengesahkan pendengaran terhadap PSM yang ditetapkan pada 20 Mei ini berjalan seperti yang dijadualkan pada pukul 1 tengah hari waktu Bangkok.

“Pendengaran yang akan berlangsung secara maya pada awal tengah hari itu tidak akan mencabar pematuhan garis panduan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya.

Pada 28 April lepas, ASTAF menggantung sementara PSM daripada menyertai sebarang aktiviti berkaitan sukan itu.

ASTAF dalam satu kenyataan mengumumkan penggantungan PSM itu sehingga satu pendengaran diadakan berikutan kenyataan Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail pada 1 Mac lepas mengenai pemilihan badan pentadbir sepak takraw Asia itu.

Sementara itu, Abdul Halim menerusi surat berkenaan turut mengingatkan Abidullah bahawa di bawah Peraturan Perlembagaan dan Prosedur Disiplin ASTAF, bahawa beliau mempunyai hak untuk didengar pada prosiding itu tetapi tidak mempunyai hak untuk diwakili sebarang peguam.

Abdul Halim berkata sekiranya Abidullah tidak menyertai pendengaran pada 20 Mei itu, pendengaran akan tetap dilaksanakan untuk mendengar dan mempertimbangkan dakwaan terhadap beliau tanpa kehadirannya. - Bernama

Artikel Berkaitan: