Kerajaan, NGO perlu bekerjasama heret Israel ke ICC

Kenyataan akhbar oleh Khairul pada Isnin.
Kenyataan akhbar oleh Khairul pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Semua pihak termasuk kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama menggerakkan inisiatif untuk membawa Israel ke muka pengadilan atas jenayah perang dan kemanusiaan yang dilakukan terhadap Palestin.

Presiden Gerakan Kemanusiaan Malaysia (MyHumanitarian) Khairul Annuar Mansor, ia boleh dilakukan dengan cara memberikan sokongan kepada NGO Yayasan MyAQSA (MyAQSA) yang ketika ini sedang berusaha untuk mendakwa Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Menurutnya, pasukan peguam MyAQSA ketika ini memerlukan sokongan pelbagai pihak bukan sahaja dari segi kewangan malah kepakaran bagi memastikan Israel tidak terlepas daripada jenayah perang yang dilakukannya ke atas penduduk Palestin.

“Sudah pastinya seluruh kepakaran dan tenaga diperlukan untuk berhadapan dengan negara haram Israel yang mempunyai rangkaian dan sumber yang besar jika dibandingkan dengan NGO dari Malaysia.

“Kita harus memandang usaha melalui saluran perundangan ini perlu diberikan perhatian sebagai penyelesaian jangka panjang untuk keadilan buat rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Februari lalu, MyAQSA melakar sejarah apabila diterima oleh ICC sebagai Amicus Curiae (Sahabat Mahkamah) bagi membantu untuk mengemukakan hujah terhadap jenayah perang Israel terhadap Palestin.

Perkembangan tersebut membolehkan MyAQSA membantu ICC dengan mengemukakan hujah bahawa Palestin merupakan sebuah negara yang berdaulat dan dengan itu ICC mempunyai bidang kuasa mutlak untuk menyiasat seterusnya mendakwa Israel atas perbuatan jenayah mereka selama ini.

Susulan itu, MyAQSA membentuk satu pasukan khas yang terdiri daripada peguam dan pensyarah undang-undang yang terkenal serta berpengalaman luas dalam bidang perundangan antarabangsa, antaranya Lukman Sheriff sendiri yang merupakan peguam dan Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) merangkap Profesor Perundangan Antarabangsa, Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Turut serta ialah Pensyarah Undang-Undang di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Mohd Hisham Mohd Kamal; peguam yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia, Azril Mohd Amin dan Pensyarah Kanan Perundangan Jenayah Antarabangsa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Fareed Mohd Hassan.

Turut tersenarai ialah dua orang peguam, Ahmad Edham Abdulwani dan Wan Rohimi Wan Daud.

Mengulas lanjut, Khairul berkata, kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap penduduk Palestin perlu dihentikan kerana ia tidak selaras dengan matlamat Matlamat ke-16 Pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Selaras dengan Matlamat 16 SDG: Keamanan, Keadilan Dan Institusi Yang Kuat, maka kami mendesak tindakan zalim dan tidak berlandaskan nilai kemanusiaan itu perlu dihentikan serta-merta oleh Zionis Israel.

“Setiap insan bukan sahaja di bumi Palestin layak untuk hidup dengan aman dan harmoni tanpa dicemari dengan insiden keganasan, kekejaman dan tindakan tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Khairul menambah, perbuatan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh Israel itu juga jelas bertentangan dengan Matlamat ke11 SDG iaitu menjadikan bandar dan penempatan manusia yang inklusif, selamat, berdaya tahan dan lestari.

Menurutnya, tindakan Israel yang merampas tanah dan rumah rakyat Palestin dilihat menyebabkan ramai di antara mereka hilang kediaman dan tempat perlindungan serta benar-benar mencemari hak kemanusian sejagat.

Bagi memastikan agenda pembangunan dan kemaslahatan manusia dan bumi yang menyeluruh, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015 telah mengemukakan 17 Matlamat SDG yang perlu dicapai pada 2030.