X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Sri Ram dilantik DPP pada 2018 kendali kes jenayah: Thomas

Gopal Sri Ram hadir bagi perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pada Isnin. Foto: Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas melantik Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya (DPP) pada tahun 2018 bagi mengendalikan kes jenayah berprofil tinggi termasuk kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Thomas, 69, berkata, pelantikan itu adalah mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) kerana Sri Ram tertakluk di bawah kawalan dan arahan amnya dan berada dalam suatu kedudukan untuk menjalankan semua kuasa pendakwa raya.

"Saya sendiri telah memberi kuasa kepada beliau dalam kapasiti saya sebagai pendakwa raya untuk beliau menjalankan kes-kes pendakwaan yang lain.

"Ini termasuk kes Rosmah yang telah dituduh untuk kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

"Oleh itu, dakwaan bahawa apabila saya mengarahkan Sri Ram untuk mengetuai prosiding jenayah dalam kes ini, saya perlu memberi kepadanya surat bertulis yang lain seperti mana kehendak di bawah Seksyen 379 KPJ adalah merupakan suatu salah anggapan undang-undang," katanya dalam afidavit yang diikrarkan bagi pihak Sri Ram yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Afidavit Thomas itu bagi menjawab permohonan Rosmah untuk membatalkan keseluruhan perbicaraan beliau dalam usahanya untuk dibebaskan daripada kesemua tiga pertuduhan serta memohon Sri Ram, yang merupakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, digugurkan daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes tersebut.

Thomas yang dilantik sebagai Peguam Negara pada 4 Jun 2018 dalam afidavitnya berkata, permohonan Rosmah untuk mencabar pelantikan Sri Ram dibuat dengan niat buruk, tidak berasas dan penyalahgunaan proses mahkamah.

"Sekiranya Sri Ram tidak mempunyai autoriti, yang mana telah pun disahkan oleh pengganti saya (Tan Sri Idrus Harun), adakah pasukan pendakwa raya yang berkhidmat secara tetap di Jabatan Peguam Negara akan menerima dan bekerja di bawah kepimpinan beliau bagi pihak pendakwaan?" katanya.

Thomas berkata, pada 30 Ogos 2018, beliau juga telah melantik Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk menjalankan pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan pelantikan itu telah dicabar oleh bekas Perdana Menteri tersebut, yang kemudian gagal di semua peringkat termasuk Mahkamah Persekutuan.

Permohonan Rosmah, yang difailkan pada 6 Mei lepas akan didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada 30 Jun ini.

Rosmah, 69, memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April lepas membenarkan rayuannya bagi mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram setelah pendakwaan bersetuju menyerahkan salinan itu kepada pasukan pembelaan.

Rosmah memfailkan rayuan itu selepas Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos tahun lepas menolak permohonannya bagi mendapatkan surat pelantikan Sri Ram.

Surat pelantikan itu tidak bertarikh pada atau sebelum 15 November 2018 iaitu hari Rosmah didakwa di mahkamah serta tidak ditandatangani oleh Thomas selaku Peguam Negara ketika itu.

Sebaliknya, surat berkenaan bertarikh 8 Julai tahun lepas dan ditandatangani oleh Idrus iaitu Peguam Negara ketika ini.

Pada 18 Februari lepas, Mohamed Zaini memerintahkan Rosmah membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan sembilan hari iaitu 9,10,15,16,17,22, 23 Jun serta 12 dan 15 Julai bagi mendengar keterangan beliau dan saksi pembelaan yang lain. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!