Malaysia tunai solat hajat untuk Palestin

Al-Sultan Abdullah berkenan menunaikan solat sunat hajat bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin di Istana Negara pada malam Isnin.
Al-Sultan Abdullah berkenan menunaikan solat sunat hajat bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin di Istana Negara pada malam Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menunaikan solat sunat hajat di Istana Negara pada Isnin bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin.

Solat sunat hajat itu dipimpin Penolong Pegawai Agama Istana Negara, Mohd Zuhairee Mohd Yatim dan disertai 40 anggota jemaah yang terdiri daripada pegawai serta petugas Istana Negara.

Solat sunat berkenaan iaitu selepas solat Maghrib berjemaah dilaksanakan mengikut garis panduan ketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk penjarakan fizikal serta pemakaian pelitup muka ketika solat.

Al-Sultan Abdullah sebelum ini menitahkan masjid dan surau seluruh negara serta rakyat di kediaman sendiri untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada ALLAH SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin daripada niat jahat rejim Israel.

Sementara itu, rakyat di seluruh Malaysia dilaporkan turut menunaikan solat hajat bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin yang dizalimi rejim Zionis.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, Jakim memanjangkan cadangan itu serta memohon kerjasama Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam setiap negeri untuk bersama-sama menyahut saranan berkenaan dengan pematuhan SOP sedia ada. - Bernama

Artikel Berkaitan: