Polis siasat sambutan hari raya keluarga selebriti

Mohamad Farouk
Mohamad Farouk
A
A
A

AMPANG - Polis sedang menyiasat satu gambar sambutan hari raya melibatkan keluarga seorang selebriti tempatan yang tular dalam laman sosial pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, gambar berkenaan menunjukkan sambutan hari raya bersama seisi keluarga yang disyaki tidak tinggal sebumbung.

"Kejadian itu disyaki berlangsung di kediaman selebriti yang terletak di Hulu Kelang di sini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohamad Farouk berkata, terdapat lebih kurang 13 individu dipercayai membabitkan satu keluarga yang dipaparkan dalam gambar berkenaan.

"Majlis tersebut berlangsung tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu program ziarah hari raya.

"Aktiviti ini adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) dilaksanakan," tegasnya.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berkaitan isu berkenaan dan siasatan akan dijalankan di bawah Peraturan 17 Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

"Kes masih dalam siasatan dan kita akan memanggil semua terlibat untuk memberikan keterangan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamad Farouk memaklumkan, pihaknya mengeluarkan sebanyak 599 kompuan dan sejumlah 16 kertas siasatan telah dibuka atas pelbagai kesalahan langgar perintah dan syarat SOP sejak awal tahun hingga Ahad.

"Orang ramai mematuhi arahan dan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa," katanya.