Covid 19: Thailand catat 9,635 kes harian tertinggi

No Image Caption
A
A
A

BANGKOK - Thailand melaporkan 9,635 kes Covid-19 baharu, termasuk 6,853 kes melibatkan banduan, dan 25 kematian dalam tempoh 24 jam terakhir ketika kerajaan terus berusaha membendung gelombang jangkitan ketiga.

Ia merupakan jumlah harian tertinggi sejak pandemik bermula pada Januari tahun lalu. Setakat ini, Thailand mencatatkan 111,082 kes dan 614 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata pegawai kesihatan melakukan pengesanan kes aktif di lapan kemudahan penjara dengan lima di Bangkok, masing-masing satu di Nonthaburi, Chachoengsao dan Chiang Mai bermula 1 Mei hingga 16 Mei.

Lebih 24,000 tahanan dan pegawai telah disaring dengan 10,748 ujian positif Covid-19 sementara 2,235 lagi menunggu keputusan ujian mereka.

"Pengesanan kes aktif di penjara di seluruh negara akan diteruskan," katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini, hari ini.

Taweesin berkata, kerajaan akan menyediakan penjagaan kesihatan yang mencukupi kepada semua banduan dan tahanan di penjara seluruh negara.

“Setakat ini, semua pesakit menerima rawatan di hospital penjara dan hospital medan. Pesakit yang serius dimasukkan ke hospital,” katanya.

Data menunjukkan tahanan paling banyak dijangkiti berada di penjara Chiang Mai dan Bangkok.

Artikel Berkaitan:

Daripada 9,635 kes baharu, Taweesin berkata 9,626 adalah jangkitan tempatan termasuk 6,853 daripada kelompok penjara dan sembilan kes import termasuk empat ketibaan dari Malaysia.

Sehingga kini, katanya, terdapat 28 kelompok aktif di 19 daerah di Bangkok.

Sementara kematian melibatkan 15 lelaki dan 10 wanita berusia antara 33 dan 86 tahun, 18 kematian dari Bangkok dan masing-masing seorang di Suphan Buri, Sukhothai, Samut Sakhon, Samut Prakan, Nonthaburi, Nakhon Sawan dan Chai Nat. - Bernama