Polis rampas dadah bernilai RM4.2 juta

Abdul Majid (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian dadah disyaki jenis syabu pada sidang akhbar pada Isnin.
Abdul Majid (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian dadah disyaki jenis syabu pada sidang akhbar pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Satu sindiket dadah yang menggunakan surat kebenaran palsu untuk bergerak melepasi sekatan jalan raya di negara ini, lumpuh selepas polis menangkap empat individu termasuk seorang ahli kimia, serta merampas kira-kira 104 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM4.2 juta, dalam dua serbuan minggu lepas.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, kesemua suspek berusia 33 hingga 50 tahun terbabit ditahan dalam serbuan di Melaka dan Johor pada 12 dan 13 Mei lalu menerusi Op Passat 2 yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Tangkapan pertama pada kira-kira 5.30 petang 12 Mei lalu melibatkan dua lelaki tempatan yang menaiki kereta Volkswagen Passat dalam perjalanan ke Tanjung Kling, Melaka.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan dadah terbabit yang disembunyikan di antara tempat duduk belakang dan but kereta yang diubah suai,” katanya pada sidang akhbar, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, suspek dipercayai cuba membawa dadah berkenaan melalui jalan laut di Tanjung Kling.

"Tangkapan kedua pula melibatkan pasangan kekasih warga tempatan dan lelaki berkenaan merupakan ahli kimia berusia 40 tahun. Mereka ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah di Muar, Johor kira-kira 6.24 pagi keesokan hari," katanya.

Abdul Majid berkata dalam serbuan kedua itu, polis turut merampas tiga kenderaan jenis Perodua Myvi, barang kemas dan wang tunai pelbagai negara bernilai kira-kira RM117,116.08.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket itu aktif dalam pengedaran dadah rentas negara sejak setahun lepas dan mereka melepasi sekatan jalan raya menggunakan surat palsu daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri atas alasan menjalankan perniagaan membekalkan alat ganti kenderaan.

Artikel Berkaitan:

"Dadah berkenaan dipercayai untuk edaran luar negara dan dari mana diperoleh masih dalam siasatan," katanya.

Katanya kesemua suspek ditahan reman tujuh hari sejak Khamis (13 Mei) lepas dan kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - Bernama