569 individu ditahan ingkar SOP

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 569 individu ditahan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 pada Ahad.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 455 daripadanya dikompaun, manakala 103 lagi direman.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikesan ialah gagal merekod butiran diri dan mendaftar masuk premis menerusi MySejahtera membabitkan 127 kesalahan, selain tidak memakai pelitup muka (103), tiada penjarakan fizikal (65) dan lain-lain kesalahan (274).

"Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan sebanyak 64,829 pemeriksaan pada hari ini (Ahad) bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, seramai 3,389 pasukan pematuhan membabitkan 15,001 anggota telah membuat pemantauan di 4,163 pasar raya, restoran (4,835), kilang (2,494), bank (3,671), pejabat kerajaan (807) dan penjaja (2,374).

“Turut dipantau ialah pasar awam dan pasar tani (1,735), tempat ibadah (3,179), tempat riadah (1,740), terminal pengangkutan darat (1,922), terminal pengangkutan air (358) dan terminal pengangkutan udara (107),” katanya.

Ismail berkata, kesemua 50 orang warga asing yang menjalani ujian saringan pada Ahad didapati negatif Covid-19.

Katanya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, secara keseluruhan seramai 694,534 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 melibatkan 35,934 majikan.

Artikel Berkaitan:

“Daripada jumlah itu, seramai 10,280 orang telah disahkan positif Covid-19, manakala 684,254 lagi adalah negatif. Sehingga kini sebanyak 1,544 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini,” ujarnya.

Ismail turut memaklumkan bahawa sebanyak 676 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa pada Ahad dengan kesemuanya telah dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara.