Syak aktiviti menyalahi undang-undang dalam 1MDB antara Najib, Jho Low

Datuk Seri Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau mengesyaki terdapat beberapa aktiviti yang menyalahi undang-undang dalam syarikat antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low berhubung penerbitan bon AS$3 bilion.

Penerbitan bon AS$3 bilion itu melibatkan 1MDB Global Investments Limited (1MDB GIL) kepada Abu Dhabi-Malaysia Investment Company (ADMIC).

Mohd Hazem Abd Rahman, 47, bagaimanapun berkata, beliau tidak pernah meminta Najib yang ketika itu Perdana Menteri supaya menjelaskan perkara berkenaan tetapi telah menyatakan kebimbangannya kepada bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan bekas Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias memandangkan mereka boleh berhubung dengan Najib.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan ketika itu merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed dalam perbicaraan kes Najib melibatkan penyalahgunaan dana 1MDB.

Saksi itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam berkenaan bahawa alasan beliau tidak mendapatkan penjelasan daripada Najib kerana bukan hanya beliau mempunyai syak wasangka terhadap agenda Jho Low tetapi beliau juga mengikuti rancangan Jho Low.

Mohd Hazem berkata, beliau tidak pernah menyatakan rasa sangsi beliau itu kepada lembaga pengarah 1MDB dan tidak pernah membuat sebarang laporan kepada pihak berkuasa berhubung arahan yang diterima daripada Jho Low, ahli perniagaan yang kini dalam buruan. - Bernama

Artikel Berkaitan: