Pusat Pemberian Vaksin Stadium Titiwangsa sesak

Kesesakan di PPV Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur sekitar jam 2 petang Isnin. - Foto Ihsan orang awam. Gambar kanan: Keadaan ketika tinjauan dilakukan pada jam 4 petang.
Kesesakan di PPV Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur sekitar jam 2 petang Isnin. - Foto Ihsan orang awam. Gambar kanan: Keadaan ketika tinjauan dilakukan pada jam 4 petang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Titiwangsa di sini dilaporkan sesak pada Isnin.

Keadaan itu dikongsikan menerusi rakaman video orang awam yang berurusan di lokasi berkenaan sekitar jam 2 petang.

Kesesakan dilihat berlaku di bahagian pendaftaran yang memperlihatkan orang ramai terdiri daripada warga emas termasuk yang berkerusi roda beratur panjang menunggu giliran.

Bagaimanapun, tinjauan Sinar Harian di lokasi sekitar jam 4 petang mendapati keadaan di PPV itu kembali terkawal dan orang ramai mula beransur-ansur meninggalkan lokasi.

Orang awam dikenali sebagai Miss Lai, 47, mengakui berlaku situasi kelam kabut ketika menemani bapa mentuanya mendapatkan suntikan vaksin tersebut.

"Saya datang sekitar jam 2.30 petang untuk temu janji pada jam 3 petang. Semasa datang, memang agak ramai orang. Saya juga terpinga-pinga tidak tahu cara berurusan.

"Saya harap ada petugas di luar stadium untuk membantu dan melancarkan pergerakan pendaftaran.

"Saya kasihan melihat ramai orang tua yang perlu beratur lama dan mungkin agak menyukarkan bagi mereka yang tidak ditemani oleh anak-anak," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, dia berharap pengurusan di PPV lebih sistematik bagi mengurangkan tempoh menunggu dan mengelak kesesakan.

"Elakkan janji temu yang terlalu ramai dalam tempoh sehari. Apabila terlalu sesak, risau pula ada jangkitan di PPV.

"Seelok-eloknya tempoh menunggu tidak terlalu lama. Jika temu janji pada jam 3 petang, sepatutnya sudah selesai sejam kemudian. Mereka yang terlibat suntikan vaksin perlu tepati masa supaya tidak ganggu temu janji pengguna lain," katanya.

Sementara itu, seorang lagi dikenali sebagai Chong, 57, yang datang menemani ibu saudaranya berkata, dia perlu menunggu lebih lima jam untuk urusan tersebut.

"Sepatutnya waktu temu janji pada jam 9 pagi, tetapi saya sedar notifikasi itu lewat sebelum tiba ke PPV sekitar jam 12 tengah hari.

"Petugas memaklumkan suntikan boleh dibuat pada hari sama, tetapi perlu menunggu pada sesi petang menyebabkan kami menunggu lebih lama," katanya.

Menurutnya, dia berharap lebih ramai petugas ditempatkan di pusat vaksin tersebut bagi melancarkan urusan.