Malaysia sedia hantar anggota ATM ke Palestin

Ismail Sabri mengadakan sidang media selepas sesi taklimat kesiapsiagaan Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia dalam membantu negara menghadapi wabak Covid-19 hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri mengadakan sidang media selepas sesi taklimat kesiapsiagaan Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia dalam membantu negara menghadapi wabak Covid-19 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia bersedia menghantar anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu misi pengaman di Palestin sekiranya ia diminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.

Beliau berkata, keputusan untuk menghantar anggota ATM ke Palestin adalah berlandaskan keputusan PBB.

“Malaysia tidak boleh menghantar sewenang-wenangnya ATM ke sana (Palestin), jika kita ‘dijemput’ PBB barulah kita akan hantar.

"Ini kerana untuk menghantar anggota ATM ke Palestin ia melibatkan undang-undang antarabangsa bersama PBB,” katanya kepada pemberita selepas hadir taklimat kesiagaan perkhidmatan kesihatan ATM dalam membantu negara menghadapi wabak Covid-19 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini.

Ismail Sabri berkata, ATM sebelum ini banyak terlibat dengan misi-misi pengaman bersama PBB antaranya seperti di Lubnan, Sudan, Filipina dan Sierra Leone.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu sama ada Kementerian Pertahanan akan menghantar anggota ATM ke Palestin bagi misi pengaman.

Pada 15 Mei lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya mengenai isu Palestin, menyatakan Malaysia berasa dukacita serta kesal dengan ketidakmampuan Majlis Keselamatan PBB menghentikan serta-merta kekejaman Israel ke atas Palestin iaitu satu jenayah perang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949.

Dilaporkan pencerobohan dan serangan rejim zionis Israel ke atas rakyat Palestin kali ini bermula dengan serangan di Masjid al-Aqsa sejak 7 Mei lepas diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Isnin lalu, yang mana hingga kini dilaporkan lebih 100 rakyat Palestin terkorban manakala beratus-ratus lagi cedera.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain. - Bernama