Pesakit Covid-19 buat tempahan awal ke PKRC

PKRC Khas Gelanggang Seni dilengkapi kemudahan peralatan perubatan merawat pesakit Covid-19 sehingga tahap tiga.
PKRC Khas Gelanggang Seni dilengkapi kemudahan peralatan perubatan merawat pesakit Covid-19 sehingga tahap tiga.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Kelantan menerima tempahan awal pesakit Covid-19 untuk memasuki Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dalam kadar pantas selepas Aidilfitri.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, tempahan awal diterima di 10 PKRC terutama PKRC Khas di Gelanggang Seni walaupun pusat itu baru memulakan operasi pada Ahad.

Katanya, setakat ini PKRC itu sudah menerima 10 tempahan untuk pesakit Covid-19 membabitkan katil biasa manakala enam lagi pesakit dari hospital dibawa dan ditempatkan di katil klinikal.

“Hanya PKRC Khas Gelanggang Seni yang ada katil klinikal berkapasiti 30 manakala 100 lagi katil biasa dan menerima pesakit hospital ke PKRC mahupun ‘bridging’ sebelum pesakit dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Mereka sebelum ini dirawat di hospital utama di negeri ini dan masuk ke PKRC itu selepas Hari Raya Aidilfitri. PKRC Khas Gelanggang Seni dilengkapi kemudahan peralatan perubatan merawat pesakit Covid-19 sehingga tahap tiga,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Koordinasi di (PKRC) Khas di Gelanggang Seni, di sini, pada Isnin.

Mesyuarat disertai pelbagai agensi iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakt (JKM), Air Kelantan Sdn Bhd, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC),

Beliau berkata, jumlah PKRC dijangka ditambah jika catatan kes harian positif Covid-19 mencecah 500 hingga 600 secara berterusan.

“PKRC yang baru dibuka akan penuh kurang daripada tempoh 24 jam. Berdasarkan perkembangan semasa kes Covid-19 di Kelantan mendapati PKRC sedia ada dapat menampung kapasiti pesakit sekiranya angka kes harian kekal 300 hingga 400.

Artikel Berkaitan:

“Jika kes positif melonjak ke 500 hingga 600, sehari, maka akan ada PKRC baharu yang dibuka dijangka di Padang Perdana,” katanya.

Ujar beliau, pertambahan itu satu keperluan kerana kesesakan di hospital malah ada kes Covid-19 dari hospital dan beransur pulih juga akan dipindahkan ke PKRC bagi memberi laluan kepada pesakit yang lebih serius.

“PKRC Khas ini juga akan menempatkan golongan warga emas dan sekiranya ada anak-anak positif, mereka akan diletakkan di PKRC yang sama bagi membantu menjaga ibu bapa mereka yang sakit,” katanya.