PKPD di 28 mukim di Kota Setar

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 28 mukim di daerah Kota Setar, Kedah dan dua lokaliti di Kelantan bermula 19 Mei hingga 1 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di 28 mukim dalam daerah Kota Setar dilakukan selepas sebanyak 976 kes aktif Covid-19 direkodkan di daerah tersebut dalam tempoh lapan hari.

Beliau berkata, enam mukim direkodkan sebagai Zon Merah ialah Mukim Kota Setar sebanyak 78 kes, Mukim Mergong (223 kes), Mukim Pengkalan Kundor (143 kes), Mukim Derga (138 kes), Mukim Kangkong (55 kes) dan Mukim Anak Bukit (61 kes).

“Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan penularan jangkitan Covid-19 telah tersebar meluas ke seluruh daerah Kota Setar dalam tempoh lapan hari sahaja iaitu bermula 8 hingga 16 Mei dengan sebanyak 799 kes positif Covid-19 dikesan.

“Ini menjadikan sebanyak hampir 100 kes sehari di Kota Setar direkodkan secara purata yang melibatkan beberapa kluster sedia ada dan Kluster Dah Putih iaitu kluster terbaharu di daerah Kota Setar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ismail Sabri berkata, dua kawasan di Kelantan yang dikenakan PKPD ialah Kampung Pauh Lima dalam Mukim Gunong, Bachok dan Mukim Banggu, Kota Bharu.

Menurutnya, KKM telah melaksanakan sebanyak 227 ujian saringan di kedua-dua lokaliti tersebut dan 74 daripadanya disahkan positif Covid-19.

“KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh dua minggu iaitu peratusan kes positif ialah 26.62 peratus di Kampung Pauh Lima, Bachok dan 55.22 peratus di Kampung Pauh Lima, Kota Bharu," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Ismail berkata, terdapat dua kawasan yang dilanjutkan pelaksanaan PKPD iaitu di Taman Tanah Putih Baru, Kuantan, Pahang yang bermula 19 hingga 25 Mei dan Rumah Panjang Dinggai Sungai Amut Atas di Sarikei, Sarawak mulai 20 hingga 26 Mei ini.

“KKM telah melakukan sebanyak 4,621 ujian saringan di Taman Tanah Putih Baru dan 326 daripadanya disahkan positif Covid-19, manakala 67 ujian saringan yang dilakukan di Rumah Panjang Dinggai mendapati 16 daripadanya disahkan positif Covid-19.

“KKM melaporkan masih terdapat penularan kes dalam kalangan penduduk di lokaliti tersebut selain ada lagi sampel ujian sedang menunggu keputusan,” jelasnya.

Ismail turut memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Meripoh dan Kota Bahagia, Muadzam Shah, Rompin, Pahang pada Isnin iaitu lebih awal daripada tarikh yang sepatutnya.