Perhimpunan Agung PPB sesi khas perlu segera diadakan

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
A
A
A

PUTRAJAYA - Perhimpunan Agung PBB perlu mengadakan sesi khas segera bagi menghentikan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi kenyataannya berkata, ia selaras dengan kenyataan bersama Brunei dan Indonesia yang kecewa dengan Majlis Keselamatan PBB apabila gagal mengutuk tindakan Israel serta menggesa keganasan dihentikan.

"Ini merupakan sesi ketiga Majlis Keselamatan PBB bersidang dalam minggu ini dan masih belum ada satu pun kenyataan mengenai situasi semasa di Palestin dikeluarkan," katanya pada Isnin.

Menurutnya, PBB perlu mendesak Israel mematuhi undang-undang antarabangsa serta Piagam PBB.

"Malaysia sekali lagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan oleh rejim Israel ke atas rakyat Palestin dan umat Islam yang sedang beribadah di Masjid Al-Aqsa," katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan berterusan oleh tentera Israel serta pengusiran rakyat Palestin yang menetap di kawasan Sheikh Jarrah dan Silwan di Baitulmaqdis.

"Malaysia tidak akan sesekali mengiktiraf tindakan pencerobohan dan rampasan tanah milik rakyat Palestin bagi tujuan peluasan penempatan haram Israel," katanya.

Menerusi perbahasan terbuka secara sidang video mengenai keadaan di Timur Tengah pada Ahad, Malaysia telah menggesa Majlis Keselamatan PBB melaksanakan tanggungjawab utamanya bagi memastikan situasi keselamatan dan keamanan di rantau tersebut.

Artikel Berkaitan:

Majlis Keselamatan PBB juga disaran menggunakan mekanisme sedia ada bagi mengelakkan berlakunya kehilangan lebih banyak nyawa di Palestin.