MAPEX tawar pengecualian duti setem

HOC-MAPEX Kedah 2019 menawarkan pengecualian duti setem dan diskaun serendah 10 peratus kepada bakal pemilik hartanah.
HOC-MAPEX Kedah 2019 menawarkan pengecualian duti setem dan diskaun serendah 10 peratus kepada bakal pemilik hartanah.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Lebih 4,000 hartanah termasuk unit kediaman dan komersial ditawarkan kepada rakyat dengan pengecualian duti setem dan diskaun serendah 10 peratus kepada bakal pemilik hartanah.

Pengerusi Penganjur Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) Kedah 2019, Beh Suan Sim berkata, tawaran itu dibuka kepada orang ramai sempena penganjuran Kempen Pemilikan Hartanah (HOC) anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Cawangan Kedah Perlis.

Menurutnya, sempena HOC-MAPEX Kedah 2019, sebanyak 4,000 unit kediaman bernilai lebih RM1.5 bilion dan 300 unit bangunan komersial bernilai RM100 juta ditawarkan kepada pembeli dengan tawaran istimewa tersebut, tertakluk kepada syarat dan kelayakan.

“Tawaran itu berkelayakan kepada pembeli sama ada rumah kediaman atau premis perniagaan daripada pemaju yang berdaftar dengan REHDA yang mempunyai Surat Perjanjian Jual Beli bertarikh antara 1 Januari sehingga 30 Jun 2019.

“Kempen ini bertujuan meningkatkan pemilikan rumah kepada golongan berpendapatan rendah B40 dan golongan pertengahan M40 selain merancakkan kembali industri pembangunan hartanah di samping menawarkan unit kediaman serta premis perniagaan yang tidak terjual,” katanya kepada media.

No Image Caption

Beliau berkata, dengan adanya MAPEX 2019, diharapkan ia mampu meningkatkan ekonomi negara di mana pembangunan hartanah harus dan sentiasa kekal menjadi penggerak utama ekonomi nasional.

Katanya, pembeli boleh memilih mana-mana unit kediaman mahupun komersial yang ditawarkan untuk mendapatkan pengecualian duti setem dan diskaun minimum serendah 10 peratus.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebanyak 23 pemaju akan mengambil bahagian dalam HOC-MAPEX Kedah 2019 bertempat di Aman Central, Alor Setar manakala 13 pemaju menyertainya di Amanjaya Mall, Sungai Petani.

“Jadi inilah peluang anda serta masa yang sesuai untuk memiliki rumah kediaman mahupun premis perniagaan kerana banyak tawaran telah disediakan sempena HOC-MAPEX 2019,” katanya.

HOC-MAPEX Kedah 2019 akan bermula pada 1 hingga 4 Mac di Amanjaya Mall, Sungai Petani dari 10 pagi hingga 10 malam manakala 28 hingga 31 Mac 2019 di Aman Central, Alor Setar dari 10 pagi hingga 10 malam.

Sebagai tanda sokongan, Bahagian Perumahan, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah dijadualkan akan turut serta dalam ekspo berkenaan.

Majlis pelancaran HOC-MAPEX Kedah 2019 dijadualkan akan disempurnakan Menteri Besar pada 2 Mac 2019 di Amanjaya Mall, Sungai Petani.