OIC perlu proaktif gesa selesai kemelut Israel dan Palestin

OIC perlu lebih proaktif, dinamik dan tegas dalam mendesak PBB serta negara-negara besar untuk bersama-sama menyelesaikan kemelut perang antara Israel dan Palestin. Gambar hiasan
OIC perlu lebih proaktif, dinamik dan tegas dalam mendesak PBB serta negara-negara besar untuk bersama-sama menyelesaikan kemelut perang antara Israel dan Palestin. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu lebih proaktif, dinamik dan tegas dalam mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta negara-negara besar untuk bersama-sama menyelesaikan kemelut perang antara Israel dan Palestin.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, negara-negara yang dimaksudkan ialah seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Rusia.

Beliau berkata, OIC juga perlu berupaya berdepan dengan PBB dalam membawa aspirasi kebajikan umat Islam sejagat terutama Palestin.

“PBB sebagai pihak berkecuali dan berautoriti wajar melakukan intervensi dan menyelamatkan bumi Palestin daripada sebarang tindakan kekejaman Israel,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, enam cadangan yang telah dikemukakan kerajaan Malaysia kepada OIC merupakan cadangan yang cukup bernas dan konstruktif.

“Sesungguhnya cadangan kerajaan Malaysia merupakan satu bentuk gesaan serius yang tidak boleh dipandang ringan oleh OIC.

“Dalam mendepani kemelut isu dua negara berkenaan, negara-negara Islam di seluruh dunia amat bergantung harap kepada keberkesanan peranan OIC,” tegas beliau.

Menurutnya, cadangan itu juga dilihat sebagai gabung jalin antara dua pendekatan iaitu politik dan rundingan diplomasi.

Artikel Berkaitan:

“Saya yakin sekiranya pendekatan ini dapat dilaksanakan dan didokong oleh masyarakat antarabangsa khususnya kuasa-kuasa besar barat yang menjadi Ahli Tetap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu, ketegangan antara dua negara ini pasti akan dapat diselesaikan.

“Sesungguhnya, Palestin mempunyai hak untuk hidup dengan aman dan tenteram seperti bangsa-bangsa lain di dunia ini sebagaimana terkandung di dalam artikel ke 3 (Hak Asasi Manusia) Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di Paris pada tahun 1948,” katanya.

Pada Ahad, Malaysia menerusi Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membentangkan enam cadangan untuk OIC berhubung isu Palestin.

Antara cadangan tersebut ialah mendesak Majlis Keselamatan PBB (UNHC) mengaku kegagalannya dan mengambil tanggungjawab mengekalkan keamanan serta keselamatan.

Selain itu, Israel juga digesa supaya mematuhi sepenuhnya semua tanggungjawab seperti yang sudah ditetapkan UNHC.