LHDN saman Shafee tuntut bayaran tunggakan cukai RM9.41 juta

Muhammad Shafee
Muhammad Shafee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan saman terhadap peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, menuntutnya membayar cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta.

Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN pada 6 Mei lepas di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Muhammad Shafee, 69, sebagai defendan bagi tunggakan cukai itu selama lima tahun.

Berdasarkan penyataan tuntutan yang diperoleh menerusi sistem mahkamah (e-filing), kerajaan Malaysia mendakwa bagi Tahun-tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014, 2016, defendan telah ditaksirkan dengan taksiran tambahan masing-masing berjumlah RM621,291.85, RM978,854.11, RM3,581,500, RM1,735,124.03 dan RM1,826,557,87 melalui Notis-notis taksiran (tambahan) bertarikh 27 Mei 2019.

Dakwa plaintif, sehingga kini defendan masih gagal membayar kepada plaintif amaun cukai pendapatan defendan yang masih terhutang dan genap masanya dan perlu dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan-kenaikan yang dikenakan ke atasnya, kesemuanya berjumlah RM9,414,708.32

Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar RM9,414,708.32, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili bapanya berkata, pihaknya masih belum menerima writ saman tersebut daripada LHDN.

“Pihak kami hanya mengetahuinya (saman) melalui media,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.

Sumber LHDN ketika dihubungi mengesahkan pihaknya belum menyerahkan writ saman itu kepada Muhammad Shafee dan berkata ia akan diserahkan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Shafee merupakan peguam kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes melibatkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Muhammad Shafee menghadapi dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN. - Bernama