Media perlu guna naratif betul lapor kekejaman Israel - MJTS

Kenyataan yang dikeluarkan Ahmad Murad mengenai isu kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin pada Isnin.
Kenyataan yang dikeluarkan Ahmad Murad mengenai isu kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Tenaga Pengajar Kewartawanan Malaysia (MJTS) menggesa pengamal media menggunakan naratif yang betul ketika melaporkan isu kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin.

Presidennya, Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, ungkapan seperti Konflik-Arab Israel atau Peperangan Arab-Israel yang digunakan media di Malaysia salah sama sekali.

Beliau juga mendakwa, semakin banyak naratif yang menyokong dan memihak Israel dilaporkan.

“Beberapa hari lalu, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mempertahankan Israel dan mengatakan bahawa ia adalah hak Israel untuk mempertahankan dirinya.

“Itu merupakan naratif Amerika dan negara barat lain untuk memaparkan Israel sebagai mangsa kepada orang Palestin,” katanya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Ahmad Murad berkata, naratif yang betul mesti bermula dari pengiktirafan Hari Nakba di mana rakyat Palestin dihalau dari tanah air selain diperakukan sebagai binatang di bumi sendiri.

“Ini yang perlu digambarkan oleh media setiap kali liputan atau komentar mengenai Palestin disiarkan.

“Jika kita sebagai negara tidak dapat mengalahkan mereka dengan senjata, marilah kita mengalahkan mereka melalui naratif kerana kuasa itu boleh mentafsir dan melurus semula sejarah.

Artikel Berkaitan:

“Sekolah-sekolah kewartawanan berperanan membentuk konsep, pendekatan dan mengajar, serta menyedarkan pelajar tentang penggunaan bahasa, makna, konteks, dan ungkapan yang betul,” katanya.

Tambah beliau, semua naratif mengenai Palestin yang diterbitkan media Malaysia perlu merujuk secara eksplisit atau implisit kepada trauma 1948 kerana ia adalah ibu kepada segala ekstremisme moden yang diamalkan oleh Israel.

Dalam pada itu, Ahmad Murad turut mengecam tindakan pengeboman yang menyebabkan kemusnahan bangunan dan penempatan rakyat Palestin.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan pandang serius ancaman Israel