Covid-19: Kes kematian tertinggi, 45 maut

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kes kematian akibat Covid-19 mencatatkan angka tertinggi pada Isnin selepas negara merekodkan sebanyak 45 kematian.

Kes harian juga kembali meningkat iaitu 4,446 berbanding pada Ahad iaitu 3,780.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 sebanyak 1,947 manakala bilangan keseluruhan jangkitan dalam negara pula sebanyak 474,556.

“Daripada keseluruhan kes jangkitan Covid-19 ini, sebanyak 4,446 merupakan kes tempatan yang membabitkan 4,230 warganegara dan 213 lagi bukan warganegara.

“Kes sembuh Covid-19 negara pula berada pada kadar 90.4 peratus dengan jumlah kes sembuh adalah 2,784 menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 429,103,” katanya menerusi Facebook miliknya pada Isnin.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian yang berlaku pada Isnin melibatkan 20 kes di Selangor manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kelantan masing-masing merekodkan empat kes.

Selain itu katanya, di Kedah, Perak dan Johor masing-masing tiga kes, Negeri Sembilan dan Melaka pula dua kes manakala Pahang, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah masing-masing satu kes.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, jumlah kes aktif Covid-19 ialah sebanyak 43,506 kes dengan 522 daripadanya merupakan kes di unit rawatan rapi (ICU) manakala 273 lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.

Tambah Dr Noor Hisham, Selangor kekal sebagai negeri mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 1,650 kes diikuti Sarawak (433), Johor (391) dan Kelantan (343).

Artikel Berkaitan:


“Kes baharu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula adalah sebanyak 297 kes manakala Negeri Sembilan (243), Kedah (236), Perak (203), Terengganu (201), Pulau Pinang (159), Pahang (139), Melaka (80), Sabah (60).

“Wilayah Persekutuan Putrajaya 11 kes, manakala Wilayah Persekutuan Labuan dan Perak masing-masing mencatatkan 0 kes,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, sebanyak 14 kluster baharu yang dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kluster sebanyak 1,987 dan 570 daripadanya masih aktif.

“Terdapat empat kluster yang melibatkan komuniti, dua lagi masing-masing kluster tempat kerja dan aktiviti keagamaan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengesahkan kewujudan tujuh lagi kes Variant of Concern (VOC) dari 10 Mei hingga 14 Mei lalu.

“Ini meliputi empat kes tempatan yang dijangkiti varian South African B.1.351 dikesan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, manakala tiga kes lagi melibatkan bukan warganegara yang dijangkiti varian Indian B.1.617,” katanya.