Covid-19: Pasar Awam Jelutong ditutup

Pasar Awam Jelutong ditutup bagi kerja-kerja sanitasi untuk mengekang penularan Covid-19.
Pasar Awam Jelutong ditutup bagi kerja-kerja sanitasi untuk mengekang penularan Covid-19.
A
A
A

GEORGETOWN - Beberapa pasar awam di Pulau Pinang termasuk Pasar Awam Jelutong diarah tutup selepas terdapat kes positif Covid-19 melibatkan peniaga.

Pasar Awam Jelutong yang tarletak di bahagian pulau ditutup berkuat kuasa hari ini (Isnin) selepas empat peniaga disahkan positif.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang berkata, penutupan itu dibuat bagi melakukan kerja-kerja sanitasi dan beberapa tindakan yang perlu untuk mengekang penularan Covid-19.

"Penutupan ini melibatkan 60 gerai dalam pasar,186 gerai tapak penjaja sementara Jalan Penaga/Lorong Ipoh dan 32 penjaja statik yang berniaga pada waktu petang dan malam di kawasan sama termasuk Lorong Batu.

"Kita akan umumkan tarikh pasar awam ini dibuka semula kepada orang ramai," katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Isnin.

Sementara itu di kawasan Seberang Perai pula, bahagian makanan dan jualan daging khinzir di Pasar Awam Bagan Ajam ditutup selama 10 hari lagi selepas lapan peniaga disahkan positif Covid-19.

Pegawai kesihatan melekatkan notis arahan penutupan Pasar Awam Jelutong.
Pegawai kesihatan melekatkan notis arahan penutupan Pasar Awam Jelutong.

Pasar awam berkenaan sebelum ini diarahkan tutup berikutan terdapat kluster Jalan Terbilang dan baharu dibenarkan beroperasi semula pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Sr Rozali Mohamud dalam satu kenyataan berkata, seramai 17 peniaga pasar terbabit masih gagal melakukan ujian swab walaupun telah dihubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Utara.

"Mereka digesa untuk menghubungi PKD sebelum jam 6 petang hari ini (Isnin) bagi mendapatkan tarikh temu janji atau mengemas kini hasil ujian swab sekiranya telah dibuat di hospital swasta.

"Sekiranya mereka gagal berbuat demikan satu operasi bersepadu akan dilakukan bagi mengesan mereka dan tindakan penguatkuasaan boleh diambil mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua peniaga di pasar awam berkenaan selain yang telah dipanggil oleh PKD untuk membuat ujian swab dan memaklumkan kepada MBSP mengenai keputusan diperoleh.