PdPR: Pelajar lebih bersedia

Mohamad Shamir tekun mengikuti sesi PdPR yang bermula jam 10.30 pagi di rumahnya di Taman Mawar, Alor Setar pada Isnin.
Mohamad Shamir tekun mengikuti sesi PdPR yang bermula jam 10.30 pagi di rumahnya di Taman Mawar, Alor Setar pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Pengalaman beberapa kali mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dapat memberi peluang kepada pelajar memperbaiki kekurangan sedia ada sepanjang mereka belajar dalam talian sebelum ini.

Pelajar Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin, Alor Setar, Mohamad Shamir Zulkifli, 19, berkata, walaupun masih dalam suasana Hari Raya Aidilfitri namun pendidikan masih perlu diutamakan biarpun dalam kehidupan suasana normal baharu.

Menurutnya, pengalaman belajar secara PdPR sebanyak dua kali sebelum ini telah membuatkan dirinya lebih bersedia dan lebih fokus sepanjang pembelajaran berlangsung di rumah.

"Sekarang saya sudah membiasakan diri dengan aplikasi pembelajaran seperti Google Meet supaya mudah berhubung dengan guru dan juga rakan-rakan lain semasa pembelajaran di rumah.

"Pada awal dulu memang agak sukar untuk membiasakan diri namun ini sudah kali ketiga PdPR. Pengalaman lalu memang banyak membantu saya untuk bersiap lebih awal," katanya semasa ditemui di kediamannya di Taman Mawar, Alor Setar pada Isnin.

Mohamad Shamir turut mengakui pembelajaran secara bersemuka memberikan pemahaman lebih tinggi kepadanya dan rakan-rakan lain berbanding PdPR.

Bagaimanapun, dia akur dengan arahan Kementerian Pendidikan untuk mengikuti PdPR dalam usaha mengawal penularan Covid-19 di seluruh negara.

"Biarpun terpaksa mengikuti PdPR, namun itu adalah langkah yang paling selamat untuk golongan pelajar seperti kami," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pelajar, Muhammad ' Dee Sazali Rosli, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Aziz berkata, belajar dalam talian tidak memberikan perasaan yang sama seperti belajar secara bersemuka dengan hadir ke sekolah.

Menurut pelajar Tingkatan Tiga itu, guru-gurunya akan memberikan tugasan dan juga nota pembelajaran melalui kumpulan Whatsapp.

"Belajar secara bersemuka di sekolah lebih baik berbanding PdPR kerana banyak perkara yang boleh kita tanya sekiranya tidak faham. Belajar melalui aplikasi ini memang kurang memberikan kesan namun saya sedaya-upaya cuba menerimanya," ujarnya.