Liek Hou puas hati gegar Sepanyol

Liek Hou (kanan) bersama Rashid selepas menjuarai Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Sepanyol pada Ahad.
Liek Hou (kanan) bersama Rashid selepas menjuarai Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Sepanyol pada Ahad.
A
A
A

PEMAIN badminton para negara, Cheah Liek Hou berpuas hati dengan kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Sepanyol pada Ahad.

Pemain nombor dua dunia itu mengakui mempunyai masa yang begitu singkat untuk membuat persiapan menghadapi cabaran di Cartagena, Sepanyol itu selepas menjuarai sebuah kejohanan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan laku.

“Saya sangat berpuas hati atas kejayaan ini. Saya terpaksa kuarantin seminggu selepas pulang dari Dubai dan hanya mempunyai tiga minggu sahaja untuk membuat persediaan menghadapi kejohanan di Sepanyol,” katanya dalam satu video dikongsi kepada media pada Isnin.

Liek Hou menampilkan aksi cemerlang dan hanya memerlukan masa 34 minit untuk muncul juara perseorangan dalam kategori SU5 (kecacatan anggota bahagian atas) selepas mengalahkan wakil Jepun Taiyo Imai 21-13, 21-1.

Ini kejayaan kedua berturut-turut diraih Liek Hou tahun ini selepas mengecewakan pemain Indonesia, Dheva Anrimusthi 14-21, 22-20, 21-18 di perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Fazza-Dubai buat kali ketiga di UAE.

Sementara itu, Liek Hou yang juga juara dunia sebanyak enam kali itu berkata, pengalaman diraihnya ketika turun bertanding pada kejohanan lepas membantu dirinya mengatasi tekanan dihadapi untuk mengecap kejayaan di Sepanyol.

Liek Hou pada masa sama turut bersyukur dan menghargai usaha dilakukan pegawai yang menganalisis setiap pencabarnya seterusnya membantunya mengungguli kejohanan di Sepanyol itu.

Dalam pada itu, jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek ketika dihubungi mengesahkan Liek Hou menempah slot ke Sukan Paralimpik di Tokyo, Jepun yang dijadualkan berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 September ini susulan kejayaannya di Cartagena. - Bernama

Artikel Berkaitan: