Mesir terima lebih 200 penduduk Gaza cedera

Keluarga Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Bandar Gaza untuk berlindung di kawasan lebih selamat selepas Israel memperhebatkan kempen pengeboman mereka di wilayah itu. - Foto AFP
Keluarga Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Bandar Gaza untuk berlindung di kawasan lebih selamat selepas Israel memperhebatkan kempen pengeboman mereka di wilayah itu. - Foto AFP
A
A
A

KAHERAH - Lebih 250 penduduk Palestin di Genting Gaza yang cedera dipindahkan ke Mesir pada Ahad selepas sempadan Rafah dibuka sehari lebih awal.

Sumber perubatan mengesahkan tiga konvoi membawa kira-kira 263 penduduk Palestin melintasi sempadan Rafah ke wilayah Sinai Utara.

Media tempatan melaporkan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi telah mengarahkan pihak berkuasa menyediakan hospital untuk menerima mangsa cedera dari Genting Gaza yang ketika ini turut berdepan kepungan haram Israel sejak tahun 2007.

Difahamkan, sempadan Rafah adalah satu-satunya laluan penduduk Palestin di Gaza ke dunia luar yang tidak dikawal oleh rejim Tel Aviv.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry ketika menyertai sesi mesyuarat secara maya bersama Majlis Keselamatan PBB menegaskan konsesi perlu dicapai untuk keamanan.

Shoukry mengulangi gesaan Kaherah untuk segera melaksanakan gencatan senjata dan mendesak Majlis Keselamatan PBB menggalas tanggungjawab penuh bagi menyelesaikan konflik itu.

Di Tebing Barat, Duta Mesir di Ramallah, Tarek Tayel bertemu dengan Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh untuk menzahirkan sokongan Kaherah yang akan tetap memberikan bantuan kemanusiaan di Gaza.

Pada Ahad, sekurang-kurangnya 42 lagi penduduk Palestin terkorban selepas rejim Zionis memperhebatkan kempen serangan mereka ke atas Genting Gaza yang merupakan angka kematian tertinggi sejak konflik baharu Israel-Palestin tercetus seminggu lalu. - AFP

Artikel Berkaitan: