Covid-19: Laksana ujian saringan komuniti percuma di Kuala Lumpur

Ujian saringan komuniti percuma perlu dilakukan berikutan peningkatan mendadak kes baharu positif Covid-19 di Kuala Lumpur.
Ujian saringan komuniti percuma perlu dilakukan berikutan peningkatan mendadak kes baharu positif Covid-19 di Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan mengadakan program saringan komuniti bersasar secara percuma berikutan peningkatan mendadak kes baharu positif Covid-19 di Kuala Lumpur.

Gesaan itu dibuat menerusi kenyataan bersama Tan Kok Wai (Cheras), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Teresa Kok (Seputeh), Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju) dan Lim Lip Eng (Kepong).

Turut bersama ialah Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), P Prabakaran (Batu) dan Hannah Yeoh (Segambut).

Menerusi kenyataan bersama itu, mereka menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mencontohi kerajaan negeri Selangor yang mengadakan program saringan pada 8 hingga 11 Mei lalu.

Kata mereka, program berkenaan berjaya mengesan hampir 80 peratus individu berumur 20 hingga 40 tahun yang positif Covid-19 tetapi tidak menunjukkan sebarang simptom.

“Program saringan ini juga akan dapat mengenal pasti mereka yang mungkin menjadi pembawa senyap (silent carriers) virus Covid-19 iaitu orang yang positif tetapi tidak mempunyai sebarang simptom serta berisiko menjangkiti individu lain.

“Lebih 300 kes positif baharu sehari dicatatkan di Kuala Lumpur selama tiga hari berturut-turut bermula 14 hingga 16 Mei lalu.

“Ini sepatutnya membuka mata menteri supaya bertindak lebih agresif dan melaksanakan pendekatan baharu untuk mengurangkan jumlah kes,” menurut kenyataan tersebut pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Menerusi kenyataan sama, ahli-ahli Parlimen berkenaan memaklumkan bahawa mereka akan membantu Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) membuat hebahan mengenai program saringan komuniti bersasar kepada penduduk di kawasan Parlimen masing-masing.

Kata mereka, ia sebagai usaha mengawal penularan wabak Covid-19 serta mengurangkan jumlah kes.

Selain itu, menurut mereka, KWP juga perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membolehkan keupayaan dan fasiliti makmal hospital milik kerajaan atau mana-mana makmal yang dikhaskan untuk melakukan ujian makmal segera dipertingkatkan.

“Ini penting untuk mengenal pasti varian baharu secara lebih berkesan dan lebih cekap serta menghasilkan keputusan dengan lebih pantas.

“Dengan peningkatan kes positif baharu dan jumlah kematian yang semakin tinggi setiap hari, beberapa faktor seperti jumlah kakitangan dan sukarelawan perubatan, penyediaan peralatan mencukupi, capaian internet serta lokasi sesuai perlu diambil kira oleh KKM sebelum program saringan komuniti bersasar dijalankan,” kata mereka.