Pemuda PH cadang aktifkan kempen kibar bendera Palestin

Pemuda PH mencadangkan masyarakat di negara ini mengaktifkan kempen mengibarkan bendera Palestin di setiap rumah dan kenderaan.
Pemuda PH mencadangkan masyarakat di negara ini mengaktifkan kempen mengibarkan bendera Palestin di setiap rumah dan kenderaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pakatan Harapan (PH) mencadangkan masyarakat di negara ini mengaktifkan kempen mengibarkan bendera Palestin di setiap rumah dan kenderaan.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, tindakan tersebut merupakan simbol solidariti fizikal yang berfungsi sebagai langkah kesedaran awam bagi membebaskan Palestin daripada penjajahan Zionis Israel.

Selain itu, katanya, keberanian jutaan rakyat Malaysia bersolidariti dan bersama-sama memperjuangkan rakyat Palestin ketika ini wajar dipuji.

“Malah amaran kerajaan Israel untuk bertindak balas jelas memberikan signal bahawa gerakan solidariti ini telah memberikan kesan dalam perang psikologi menentang imperialisme Zionis Israel.

“Kita yakin asakan dan bantuan dalam membela Palestin yang tertindas wajar digerakkan secara agresif dan lebih membekas,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Shazni berkata, tekanan juga harus diberikan kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) berikutan Pejabat Presiden negara berkenaan menyatakan sokongan terhadap Israel.

“Ini bertujuan mengutuk pendirian yang langsung menyalahi prinsip demokrasi dan hak asasi yang sering dijajanya.

“Maka, satu himpunan bantahan terhadap Zionis Israel akan digerakkan di hadapan kedutaan AS dalam tempoh terdekat,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan: