Lelaki ditahan pukul, ugut pengawal keselamatan

Seorang lelaki ditahan kes pukul dan ugut pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Subang Jaya pada Sabtu.
Gambar kecil: Abd Khalid
Seorang lelaki ditahan kes pukul dan ugut pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Subang Jaya pada Sabtu. Gambar kecil: Abd Khalid
A
A
A

SUBANG JAYA - Seorang lelaki ditahan berhubung kes pukul dan ugut seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan di Bandar Puchong Utama, Puchong.

"Suspek direman tiga hari bermula Ahad hingga Selasa bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Abd Khalid berkata, dalam kejadian jam 4.40 petang, pengawal keselamatan berusia 37 tahun itu sedang bertugas di tempat letak kereta berbumbung di pasar raya berkenaan.

"Mangsa ternampak sebuah kereta Proton Wira yang dipandu suspek melanggar sebuah motosikal dan membuat pemeriksaan ke atas motosikal tersebut serta menyalahkan suspek.

"Suspek tidak berpuas hati lalu menumbuk muka, menendang perut dan cuba menyerang mangsa sehingga beberapa kakitangan pasar raya berkenaan meleraikan keadaan. Suspek mengugut mangsa dan pengurusnya sebelum beredar dari lokasi kejadian," kata beliau.

Abd Khalid memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: