AstraZeneca diperluas ke Sarawak, Johor, Pulau Pinang

Program vaksin AstraZeneca secara sukarela diperluaskan ke Sarawak, Johor dan Pulau Pinang. - Foto 123RF
Program vaksin AstraZeneca secara sukarela diperluaskan ke Sarawak, Johor dan Pulau Pinang. - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Program pelaksanaan suntikan vaksin Covid-19 secara sukarela menggunakan AstraZeneca diperluaskan ke Sarawak, Johor dan Pulau Pinang.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pemilihan adalah disebabkan kes yang tinggi di tiga negeri berkenaan.

"Pendaftaran pusingan kedua akan dibuka bermula 23 hingga 26 Mei ini dengan mengutamakan pendaftaran warga emas," katanya pada sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang dilakukan secara maya pada Isnin.

Khairy berkata, pendaftaran tempahan slot vaksin berkenaan boleh dibuat menerusi laman sesawang dan program 'outreach' oleh pejabat kesihatan daerah (PKD).

"Kuota akan diperuntukkan kepada PKD untuk warga emas di Lembah Klang, Sarawak, Johor serta Pulau Pinang," katanya.

Tambah beliau, pendaftaran tersebut melibatkan sebanyak 1.1 juta dos vaksin yang akan diberikan kepada individu berusia 60 tahun ke atas.

"Jika masih mempunyai kekosongan, slot tersebut akan dibuka pendaftaran kepada orang awam berusia 60 tahun ke bawah," katanya.

Menurutnya, pusingan kedua pemberian vaksin Covid-19 secara sukarela itu turut diberikan kepada seramai 25,000 individu yang berada dalam senarai menunggu pada pusingan pertama.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya adakah Sarawak bersetuju untuk menawarkan AstraZeneca secara sukarela kepada rakyat negeri itu, Khairy berkata, kerajaan negeri telah menyatakan persetujuan.

"Mengenai pelaksanaannya di Sarawak, kita akan berhubung dengan pejabat kesihatan negeri," katanya.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan bahawa beliau kini sedang menjalani kuarantin berikutan menjadi salah seorang kontak rapat kepada seseorang yang positif Covid-19.

"Kuarantin bermula hari ini (Isnin) dan keputusan saringan Covid-19 juga akan diketahui hari ini," kata beliau.

Dr Adham turut mencelah mengatakan bahawa beliau juga menunggu keputusan ujian saringan Khairy.

"Kalau Khairy positif, saya pun kena (kuarantin)," kata beliau.