KKMM pantau platform media sosial antarabangsa berat sebelah

Saifuddin Abdullah. - Foto Bernama
Saifuddin Abdullah. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sedang memantau perkembangan sesetengah platform media sosial antarabangsa yang kelihatan berat sebelah kerana terlalu mudah memadamkan kandungan yang menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Justeru, Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah menyeru semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan platform kandungan di peringkat antarabangsa dan tempatan untuk berganding bahu meningkatkan kesalinghubungan internet selain memastikan penyebaran maklumat yang sahih, adil dan saksama.

Beliau turut mendedikasikan sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) yang diraikan hari ini khusus untuk perjuangan rakyat Palestin dan berdoa agar kezaliman terhadap mereka segera berakhir dan dapat mencapai perdamaian.

"Sebagai umat Islam dan warga dunia yang menegakkan kebenaran, keadilan dan kedamaian, kita sewajarnya terus menyokong perjuangan Palestin secara komprehensif dan konsisten, apatah lagi ketika setiap kali keganasan Israel memuncak seperti yang berlaku sekarang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan rakyat perlu melihat peranan dan suntikan aspirasi 'generasi baharu' pejuang dan aktivis Palestin yang menggerakkan pendekatan baharu seperti menggelar Israel sebagai negara aparteid, di samping meneruskan agenda perjuangan Palestin yang sedia ada.

Rejim Zionis Israel sebelum ini dilaporkan menceroboh dan menyerang rakyat Palestin di Masjid Al-Aqsa pada 7 Mei lepas, dan disusuli dengan serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Isnin lalu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan pandang serius ancaman Israel

Artikel Berkaitan: