Sembilan warga China disyaki terlibat judi online diberkas

Antara individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Antara individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai sembilan warga China termasuk seorang wanita disyaki terlibat dengan aktiviti judi dalam talian ditahan dalam dua serbuan di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, seramai lima lelaki warga China ditahan dalam serbuan pertama pada jam 11.15 malam.

"Kita telah merampas 39 unit telefon bimbit pelbagai jenama, satu komputer riba, lima keping kad sim dan wang tunai berjumlah RM2,785," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Mohamad Zainal berkata, kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 23 hingga 38 tahun itu telah direman tiga hari bermula Ahad hingga Selasa bagi membantu siasatan.

"Serbuan kedua pula pada jam 11.30 malam di mana seramai empat lelaki dan seorang wanita warga China telah ditangkap.

"Kita merampas enam unit telefon bimbit pelbagai jenama, lima kad sim, satu modem, sebuah router dan wang tunai berjumlah RM381," katanya.

Beliau berkata, empat individu itu berusia dalam lingkungan 22 hingga 30 tahun direman dua hari bermula Ahad hingga Isnin.

"Kesemua individu yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 15 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel Berkaitan: