Klopp tonton 10 kali ulang tayang gol Alisson

Klopp memeluk Alisson selepas penjaga golnya itu menjaringkan gol kemenangan buat Liverpool.
Klopp memeluk Alisson selepas penjaga golnya itu menjaringkan gol kemenangan buat Liverpool.
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mendedahkan peranannya ketika penjaga gol, Alisson menjaringkan gol kemenangan The Reds menewaskan West Bromwich Albion 2-1 di Hawthorns pada Ahad.

Menurut Klopp, dia tidak menghalang Alisson untuk masuk ke kotak penalti lawan ketika pasukan mendapat sepakan penjuru pada minit akhir perlawanan sehingga penjaga gol kelahiran Brazil itu berjaya menanduk masuk gol kemenangan Liverpool.

"Saya tidak minta dia berlari ke atas. Saya melihat sebelum sepakan penjuru itu dan nampak dia mula naik ke atas. Peranan saya adalah saya tidak menjerit menghalang Alisson untuk kembali ke kotak penalti sendiri. Saya biarkan dia berlari ke atas.

"Pada minit akhir permainan, biasanya pasukan akan meminta penjaga gol untuk masuk ke kotak penalti lawan untuk mencari gol. Alisson naik dan menjaringkan gol yang menakjubkan dan saya sudah melihat ulang tayang sebanyak 10 kali di bilik persalinan. Ia luar biasa.

"Sekiranya Olivier Giroud menjaringkan gol seperti ini, semua orang mengatakan bahawa ia adalah gol bertaraf dunia. Ketika Alisson melakukannya, kami harus mengatakan perkara yang sama," katanya.

Dalam perlawanan itu, Liverpool terlebih dahulu ketinggalan menerusi gol Hal Robson Kanu pada minit ke-15 sebelum disamakan Mohamed Salah pada minit ke-33.

Perlawanan tersebut seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, namun Alisson menjadi wira pasukan dengan gol kemenangan selepas menanduk hantaran sepakan penjuru Trent Alexander-Arnold di penghujung perlawanan.

Ia sekali gus menyaksikan Alisson menjadi penjaga gol pertama dalam sejarah 129 tahun kelab itu berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan kompetitif selain kembali menghidupkan peluang Liverpool untuk meraih slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Artikel Berkaitan:

"Semua orang meraikan gol tersebut dan ia adalah hari yang sangat istimewa buat Alisson. Saya gembira untuknya, namun sudah tentu kredit juga perlu diberikan kepada pemain lain yang bertungkus lumus dalam perlawanan tersebut.

"Kami masih ada dua baki perlawanan dan perlu sedaya upaya mencatatkan kemenangan untuk memastikan kami dapat menempah tempat ke saingan Liga Juara-juara musim depan," katanya.