X

Kindly register in order to view this article
!

Pesakit Covid-19 dinasihat ke CAC daerah masing-masing

Amirudin mengulangi teguran supaya pesakit Covid-19 pergi ke CAC daerah masing-masing untuk mengelak kesesakan di CAC Stadium Malawati.
A
A

SHAH ALAM - Warga Selangor yang disahkan positf Covid-19 dinasihatkan ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di daerah masing-masing untuk tindakan lanjut serta rawatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak sembilan CAC di Selangor iaitu Kuala Langat, Petaling, Sabak Bernam, Klang, Gombak, Kuala Selangor, Sepang, Hulu Selangor dan Hulu Langat.

"Jika anda dikesan positif dan ingin hadir ke CAC, sila pergi ke CAC daerah masing-masing. Ini bagi mengelakkan kesesakan di CAC terutama di Stadium Malawati (Shah Alam).

"Saya menggesa semua untuk patuh pada arahan, tidak merentas negeri dan pergi ke CAC yang berdekatan bagi memudahkan urusan," katanya dalam kenyataan di Facebooknya pada Isnin.

Pemasangan khemah bagi petugas dan orang awam yang menunggu giliran untuk berurusan di CAC Stadium Malawati.
Pemasangan khemah bagi petugas dan orang awam yang menunggu giliran untuk berurusan di CAC Stadium Malawati.

Beliau berkata demikian sebagai respons keadaan di CAC Stadium Malawati yang sesak dengan pesakit Covid-19 seperti gambar tular di media sosial sejak Sabtu.

Amirudin dalam kenyataan berasingan sebelum ini berkata, pihaknya bersedia memberikan kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bagi menangani masalah kesesakan di Stadium Malawati termasuk penyediaan sukarelawan dan kemudahan bersesuaian.

Di peringkat awal, kerajaan negeri telah memasang khemah di luar CAC untuk kemudahan pesakit dan petugas pusat berkenaan pada Isnin.

Selain itu, kerajaan negeri dan JKNS juga sedang berbincang untuk menambah CAC di daerah Petaling disebabkan jumlah kes yang tinggi.

Namun keputusan itu bergantung kepada jumlah kakitangan dan sukarelawan perubatan serta lokasi yang sesuai.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!