CAP gesa haramkan pelitup muka mengandungi graphene

Mohaideen
Mohaideen
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa mengharamkan penjualan pelitup muka yang mengandungi nanopartikel graphene yang boleh memudaratkan kesihatan.

Presiden CAP, Mohaideen Abdul Kadir berkata, kerajaan Kanada telah pun mengambil tindakan melarang penggunaan pelitup muka yang mengandungi graphene kerana kemungkinan berisiko terhadap penyedutan partikel graphene.

Menurutnya, disebabkan pemakaian pelitup muka adalah barisan pertahanan kritikal dalam melawan Covid-19 dan penyakit bawaan udara lain, kehadiran nanopartikel terbabit dalam pelitup muka tidak seharusnya menjadi risiko kesihatan tambahan kepada pengguna.

"Kita juga mahu kerajaan menetapkan piawaian bagi pelitup muka dan pengguna perlu mengambil iktibar daripada perkara ini supaya kita kekal selamat dengan memilih pelitup muka yang diperbuat daripada kapas untuk mencegah penyebaran jangkitan," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, graphene adalah novel nanomaterial yang merangkumi zarah-zarah halus yang mempunyai sifat antivirus dan antibakteria.

Menurut kajian katanya, pelitup muka dilapisi graphene berpotensi menyebabkan keracunan paru-paru pada haiwan.

Meskipun berpotensi menyebabkan risiko kesihatan, Mohaideen berkata, berjuta pelitup muka yang mengandungi nanographene dihasilkan setiap hari dan dijual di seluruh dunia.

"Pelitup muka yang mengandungi graphene boleh dikenal pasti dengan lapisan warna gelap pada bahagian dalam pelitup muka tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Ia mudah dikenal pasti sebab ia berwarna kelabu," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Mohaideen berkata, apabila pelitup muka itu lusuh, serpihan nanographene mengelupas dan boleh disedut ke dalam paru-paru.

Katanya, pengguna pelitup muka yang mengandungi graphene itu mengadu mengalami kesukaran bernafas, kerengsaan kulit dan berasa seperti bernafas dalam bulu kucing.