Bot nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

Bot nelayan daripada Indonesia yang dikesan masuk dan menangkap ikan dalam perairan negara.
Bot nelayan daripada Indonesia yang dikesan masuk dan menangkap ikan dalam perairan negara.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebuah bot nelayan asing dari Indonesia ditahan kerana menangkap ikan dengan menceroboh perairan negara di kedudukan 24.8 batu nautika barat daya Pulau Kendi, kira-kira jam 3.30 petang Ahad.

Kapal Maritim (KM) Burau Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang mengesan bot itu dalam rondaan rutin bersepadu menerusi OP Benteng Laut.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot nelayan asing itu ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di dalam perairan negara.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tidak bernombor tersebut dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong berusia lingkungan 21 hingga 33 tahun.

"Kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan ditahan serta dibawa ke pejabat Maritim Pulau Pinang bagi menjalani saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia, " katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Abd Razak, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

.

Artikel Berkaitan: