Bomba selamatkan lima anak anjing

Anggota bomba memberikan minuman kepada haiwan berkenaan.
A
A

KULIM - Lima anak anjing kehausan serta kehilangan ibu diselamatkan pasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Kulim Hi Tech.

Kesemua haiwan malang itu ditemui anggota bomba ketika operasi memadam kebakaran di kawasan hutan belukar seluas dua hektar di Padang Serai jam 4.30 petang.

Pegawai Bomba Kanan II, Mohamad Yazan Yahaya berkata, anggota bomba terdengar bunyi salakan sebelum menemui empat anak anjing di sebalik lalang di tengah kawasan hutan.

Anggota bomba menyelamatkan anjing daripada terbakar.
Anggota bomba menyelamatkan anjing daripada terbakar.

Menurutnya, api di kawasan hutan itu sedang marak namun lokasi haiwan itu masih belum terbakar.

"Kami segera bertindak menyelamatkan empat anak anjing berkenaan memandangkan asap tebal dan api semakin marak .

"Ketika operasi diteruskan, seekor lagi anak anjing ditemui dalam keadaan kaki melecur kerana terpijak bara api," katanya.

Beliau berkata, kelima-lima anak anjing tersebut diselamatkan dengan diberi minum dan dimandikan.

Anak anjing tanpa ibu diselamatkan anggota bomba.
Anak anjing tanpa ibu diselamatkan anggota bomba.

"Kesemua haiwan itu diserahkan kepada seorang peniaga kedai runcit di kawasan berhampiran.

"Dia menawarkan diri untuk memelihara anjing-anjing itu," katanya.

Dalam pada itu, Yazan berkata, operasi memadam kebakaran di kawasan itu selesai jam 7.46 malam hasil bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lunas.

Terdahulu, tular video lima anak anjing diselamatkan anggota bomba terlibat.